[KRONOLOGI] Kes pesawat terhempas di Elmina

Situasi berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina dekat sini. - Foto Bernama
Situasi berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina dekat sini. - Foto Bernama
A
A
A

[KRONOLOGI] Sebuah pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dilaporkan terhempas dalam kejadian di Elmina Central Park, Seksyen U16 di sini pada Khamis.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

17 Ogos 2023 (Khamis)

SHAH ALAM - Sebuah pesawat dilaporkan terhempas dalam kejadian di Elmina Central Park, Seksyen U16 di sini.

Difahamkan, pesawat itu dari Langkawi ke Subang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat dilapor terhempas di Elmina Shah Alam

Tiada panggilan kecemasan dibuat - CAAM

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam tidak membuat panggilan kecemasan atau 'Mayday'.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan panggilan pertama yang dibuat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas pesawat: Tiada panggilan kecemasan dibuat - CAAM

10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina

Seramai 10 individu dipercayai maut dalam insiden pesawat ringan terhempas di Elmina, Seksyen U16 di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (tiga, kanan) ketika meninjau lokasi kejadian nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina. - Foto Bernama
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (tiga, kanan) ketika meninjau lokasi kejadian nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina. - Foto Bernama

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian jam 2.40 petang itu, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina

'Nampak pesawat senget, dengar bunyi dentuman'

SHAH ALAM - "Saya lihat pesawat dalam keadaan senget sebelum dengar bunyi dentuman kuat," kata seorang saksi kejadian pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Seksyen U16 di sini pada Khamis.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Syahmie Md Hashim, 31, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan ke Paya Jaras.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Nampak pesawat senget, dengar bunyi dentuman'

Tiada isyarat bahawa pesawat hadapi masalah - Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM - Pusat Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) tidak menerima sebarang makluman pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) menghadapi masalah sebelum dikesan terhempas di Elmina, Seksyen U16, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan sudah diberi kebenaran untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada isyarat bahawa pesawat hadapi masalah - Ketua Polis Selangor

Jet Valet sahkan terima laporan pesawat miliknya terhempas di Elmina

KUALA LUMPUR - Syarikat Jet Valet Sdn Bhd mengesahkan menerima laporan berhubung insiden sebuah pesawat milik syarikat itu yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor hari ini.

Syarikat pengendali pesawat berkenaan memaklumkan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden itu, dan akan memberi komitmen penuh serta kerjasama dalam siasatan yang akan dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN:Jet Valet sahkan terima laporan pesawat miliknya terhempas di Elmina

Exco Pahang antara korban nahas pesawat di Elmina

KUANTAN - Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun antara yang dikhuatiri maut dalam nahas pesawat ringan terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN:Exco Pahang antara korban nahas pesawat di Elmina

Tular rakaman 'dashcam' pesawat terhempas

SHAH ALAM - Letupan dan api pesawat terhempas hampir mengenai sebuah kereta di Elmina, berhampiran susur keluar Lebuhraya Guthrie, pada Khamis.

Kejadian pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas sempat dirakam kamera papan pemuka beberapa kenderaan di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN:Tular rakaman 'dashcam' pesawat terhempas

Pesawat terhempas: Agong tinjau lokasi nahas

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau kawasan insiden pesawat ringan terhempas yang mengorbankan 10 nyawa di Lebuhraya Guthrie, Elmina Central Park, Seksyen U16, dekat sini pada Khamis.

Seri Paduka Baginda berangkat tiba sekitar jam 5.40 petang sebelum berkenan menerima taklimat daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengenai tragedi itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Pesawat terhempas: Agong tinjau lokasi nahas

Pesawat melencong ke kanan dari laluan pendaratan - Anthony

SUBANG - Pesawat yang terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam yang mengorbankan 10 nyawa dikenal pasti melencong daripada laluan asal pendaratan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, maklumat tersebut adalah berdasarkan pemerhatian awal setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Pesawat melencong ke kanan dari laluan pendaratan - Anthony

Nahas Elmina: Syarikat pengendali pesawat berdaftar, ada lesen

SUBANG - Syarikat pengendali pesawat yang terhempas, Jet Valet Sdn Bhd adalah syarikat berdaftar dan memiliki lesen penerbangan.

Perkara itu disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Syarikat pengendali pesawat berdaftar, ada lesen

Saya bukan antara mangsa nahas di Elmina, kata anak Jamaluddin Jarjis

KUALA LUMPUR - Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan beliau merupakan antara 10 mangsa yang terkorban, dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

Ikwan, 36, dalam kenyataan ringkas berkata, laporan yang disiarkan dalam media utama menyatakan, namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.

ARTIKEL BERKAITAN:Saya bukan antara mangsa nahas di Elmina, kata anak Jamaluddin Jarjis.

Nahas Elmina: Tragedi pesawat kedua di Elmina selepas 46 tahun

SHAH ALAM - Tragedi pesawat ringan terhempas yang mengorbankan 10 nyawa di Elmina, di sini, pada Khamis merupakan insiden pesawat kedua berlaku di kawasan itu selepas kejadian pertama membabitkan Japan Airlines Flight 715 meragut 34 nyawa pada 46 tahun lalu.

Dalam nahas pada 27 September 1977 itu, seramai 26 penumpang dan lapan anak kapal maut apabila Japan Airlines Flight 715 terhempas di sebuah bukit di Ladang Elmina yang ketika itu masih ladang getah.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Tragedi pesawat kedua di Elmina selepas 46 tahun

Pesawat Beechcraft boleh cecah kelajuan maksimum hingga 840km/j

KUALA LUMPUR - Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada Khamis mempunyai kelajuan maksimum hingga 840 kilometer sejam (km/j).

Menurut maklumat di laman sesawang Jet Valet Sdn Bhd, pesawat itu direka untuk membawa enam penumpang dan satu krew penerbangan pada satu-satu masa dengan jarak penerbangan maksimum sekitar 2,500km.

ARTIKEL BERKAITAN:Pesawat Beechcraft boleh cecah kelajuan maksimum hingga 840km/j

Nahas Elmina: Perlukan masa untuk kenal pasti identiti mayat

KLANG - Ada mayat mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, di Shah Alam, petang Khamis, masih boleh dikenal pasti identitinya, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun, Dr Zaliha berkata, berdasarkan laporan awal daripada pasukan Kementerian Kesihatan di lapangan, pasukan itu memerlukan masa untuk proses pengecaman awal bagi beberapa mayat berikutan keadaannya yang tidak sempurna berikutan impak daripada nahas itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Perlukan masa untuk kenal pasti identiti mayat

Nahas terlalu mendadak mungkin punca tiada isyarat 'mayday' - Pakar

SHAH ALAM - Kegagalan juruterbang menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas dalam kejadian di Elmina, di sini memberi gambaran nahas tersebut berlaku secara mendadak.

Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, sukar untuk menganalisa sebarang kemungkinan punca berlakunya kemalangan tersebut disebabkan maklumat sedia ada yang sangat terhad.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas terlalu mendadak mungkin punca tiada isyarat 'mayday' - Pakar

[VIDEO] Nahas Elmina: Salah satu komponen kotak hitam ditemui - Polis

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rakaman suara kokpit (CVR) yang merupakan salah satu daripada komponen kotak hitam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini, temui jam 10.20 malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menerusi sidang media di lokasi.

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Nahas Elmina: Salah satu komponen kotak hitam ditemui - Polis

Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna

SHAH ALAM - Mayat seorang penunggang motosikal ditemui dalam keadaan sempurna, susulan nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina, Seksyen U16, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, manakala lima mayat mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna

Nahas Elmina: 10 mayat mangsa telah ditemui

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kesemua 10 mayat mangsa korban tragedi pesawat terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina, di sini telah ditemui.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi mencari selesai jam 10.30 malam.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: 10 mayat mangsa telah ditemui

18 Ogos 2023 (Jumaat)

Nahas Elmina: Proses bedah siasat dijangka dilakukan pagi ini

KLANG - Dua kenderaan pacuan empat roda dan satu trak milik Polis Diraja Malaysia yang membawa mayat 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, kira-kira jam 1.20 pagi Jumaat.

Semasa kenderaan itu tiba, ahli keluarga dan waris hanya dapat menunggu di laluan masuk ke unit berkenaan kerana mereka tidak dibenarkan memasuki ke pekarangan Jabatan Forensik ketika proses menurunkan kesemua jenazah dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Proses bedah siasat dijangka dilakukan pagi ini

Nahas Elmina: Operasi cari komponen kotak hitam FDR diteruskan

SHAH ALAM - Operasi penyiasatan hari kedua diteruskan bermula jam 8 pagi pada Jumaat dengan misi untuk mencari komponen kotak hitam dan mengesan sisa mayat yang mungkin masih tertinggal di lokasi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Seksyen U16 di sini pada Khamis.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang akhbar pada Khamis apabila pasukan penyiasat sudah menemui rakaman suara kokpit (CVR) yang merupakan salah satu daripada komponen kotak hitam pesawat berkenaan jam 10.20 malam.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Operasi cari komponen kotak hitam FDR diteruskan

Nahas Elmina: Operasi di lokasi nahas pesawat disambung pagi ini

SHAH ALAM - Operasi mengesan kemungkinan baki cebisan mayat mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di sini semalam disambung pada jam 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata, operasi hari ini menumpukan kepada proses 'sweeping' di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Operasi di lokasi nahas pesawat disambung pagi ini

Nahas Elmina: Waris mangsa dilihat tiba di HTAR pagi ini

KLANG - Beberapa waris mangsa penumpang pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam dilihat hadir di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada Jumaat.

Kehadiran keluarga mangsa itu mula dilihat tiba pada sekitar jam 9.50 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Waris mangsa dilihat tiba di HTAR pagi ini

Waris 10 mangsa pesawat terhempas sudah serah sampel DNA

KLANG - [DIKEMAS KINI] Waris semua mangsa telah selesai memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mereka bagi tujuan mengenal pasti 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, semalam.

Ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, waris yang terakhir tiba dari Sungai Petani, Kedah pada kira-kira jam 5 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN:Waris 10 mangsa pesawat terhempas sudah serah sampel DNA

Sampel DNA 22 waris diperoleh untuk proses pemadanan mayat

SHAH ALAM - Polis sudah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada 22 waris untuk melaksanakan proses pemadanan dengan 10 mayat mangsa yang ditemui di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Seksyen U16, di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, proses pemadanan DNA akan dibuat di lokasi bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:Sampel DNA 22 waris diperoleh untuk proses pemadanan mayat

Nahas Elmina: Pesawat hanya miliki satu kotak hitam

SHAH ALAM – Pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16, di sini pada Khamis tidak memiliki Perakam Data Penerbangan (Aircraft Data Recorder) sebagaimana pesawat komersial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, sebaliknya pesawat itu hanya mempunyai kotak Perakam Data Kokpit (Cockpit Data Recorder) dan ia sudah ditemui malam semalam.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Pesawat hanya miliki satu kotak hitam

Api marak di pesawat padam dalam tempoh enam minit - JBPM

SEPANG - Api marak di pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Shah Alam pada Khamis berjaya dipadamkan dalam tempoh enam minit, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sebuah jentera JBPM yang kebetulan berada di kawasan berdekatan telah bergegas ke lokasi kejadian, dan pihaknya telah berada di lokasi kejadian 10 minit selepas mendapat panggilan pada jam 2.55 petang.

ARTIKEL BERKAITAN:Api marak di pesawat padam dalam tempoh enam minit - JBPM

Nahas Elmina: Orang awam, penduduk sekitar antara dirakam keterangan

SHAH ALAM - Orang awam serta penduduk sekitar antara individu dirakam keterangan berhubung nahas melibatkan pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini proses siasatan masih berjalan.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Orang awam, penduduk sekitar antara dirakam keterangan

Nahas Elmina: Pemandu e-hailing tidak bawa penumpang

SHAH ALAM – Pemandu e-hailing yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Seksyen U16 di sini tidak membawa sebarang penumpang semasa kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid mengesahkan maklumat itu diperoleh selepas semakan dibuat dengan penyedia khidmatan e-hailing tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Pemandu e-hailing tidak bawa penumpang

Nahas Elmina: Keputusan siasatan diumum secara telus - Anthony

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Alat perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR) yang ditemui daripada pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam telah dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) awal pagi tadi untuk dianalisis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, BSKU yang merupakan biro di bawah kementerian itu, telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci sebelum hasil siasatan diumumkan secepat mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Keputusan siasatan diumum secara telus - Anthony

Nahas Elmina: Kerajaan salur bantuan untuk keluarga mangsa

KLANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menyalurkan semua bantuan yang diperlukan waris keluarga mangsa penumpang pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut bertujuan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Kerajaan salur bantuan untuk keluarga mangsa

Menantu Presiden Jcorp antara mangsa nahas pesawat terhempas

JOHOR BAHRU - Menantu lelaki kepada Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim adalah antara mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam.

Perkara itu disahkan Johor Corporation (JCorp) dalam perkongsian menerusi Facebook rasmi syarikat itu, namun tidak menyatakan nama mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:Menantu Presiden Jcorp antara mangsa nahas pesawat terhempas

Nahas Elmina: Foodpanda sahkan Muhamad Hafiz 'rider' syarikat itu

SHAH ALAM - Syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda mengesahkan Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada Khamis, adalah 'rider' syarikat berkenaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Foodpanda menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Foodpanda sahkan Muhamad Hafiz 'rider' syarikat itu

Nahas Elmina: Jalan Persiaran Elmina dibuka kepada pengguna

SHAH ALAM - Jalan utama Persiaran Elmina di Seksyen U16, di sini dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada petang Jumaat.

Timbalan Ketua Zon Shah Alam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Shamsol Maarif Saibani berkata, kerja-kerja pembersihan di laluan dua hala itu mula dijalankan kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi melibatkan tiga jentera.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Jalan Persiaran Elmina dibuka kepada pengguna

Nahas Elmina: KKM tunggu laporan akhir agensi terlibat

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan sedang menunggu laporan akhir daripada agensi yang terlibat dalam penyiasatan insiden pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis yang mengorbankan 10 orang.

Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, kementerian akan mengumumkan laporan akhir itu sebaik sahaja ia diterima.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: KKM tunggu laporan akhir agensi terlibat

Pesawat layak terbang, penerbangan ikut tatacara - CAAM

PUTRAJAYA - Pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam di Selangor semalam memiliki semua lesen dan pendaftaran yang sah termasuk sijil kelayakan terbang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud.

Beliau berkata, penerbangan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), yang didaftarkan di luar negara dan menggunakan lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara, untuk perjalanan dari Langkawi ke Subang itu mematuhi tatacara penerbangan (rules of the air) Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN:Pesawat layak terbang, penerbangan ikut tatacara - CAAM

Paling awal bedah siasat selesai pada Isnin - Razarudin

KLANG - Proses bedah siasat mangsa pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor dijangka siap paling awal pada Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, meskipun perkara itu nampak mudah, namun ia bukan satu tugas yang boleh diselesaikan segera kerana terlalu banyak cebisan dijumpai di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN:Paling awal bedah siasat selesai pada Isnin - Razarudin

Nahas Elmina: Siasatan dijalankan BSKU, pakar penerbangan AS

SHAH ALAM - Siasatan nahas pesawat di Elmina, Seksyen U16 di sini akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS), Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan lanjut akan dijalankan pihak terlibat di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Siasatan dijalankan BSKU, pakar penerbangan AS

Nahas Elmina: CVR mampu rakam bunyi kokpit selama dua jam

SHAH ALAM - Rakaman suara kokpit (CVR) mampu merakam sebarang bunyi dalam kokpit bagi tempoh dua jam terakhir sebelum pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis.

Namun bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menjelaskan walaupun ia tidak boleh memberi bukti seratus peratus mengenai kejadian tersebut, sekurang-kurangnya dapat membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: CVR mampu rakam bunyi kokpit selama dua jam

Persimpangan Elmina dibuka semula kepada pengguna - Prolintas

KUALA LUMPUR - Laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) yang ditutup berikutan nahas pesawat pada Khamis, telah dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sejak 3.40 petang Jumaat.

Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan laluan berkenaan dibuka semula itu melibatkan laluan masuk dari Shah Alam ke Elmina barat, dan laluan masuk ke Elmina timur dari Rawang, termasuk susur keluar ke Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN:Persimpangan Elmina dibuka semula kepada pengguna - Prolintas

Sampel DNA pada mayat tidak sempurna daripada tisu dan tulang - Pakar

KUALA LUMPUR - Pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mayat yang tidak sempurna adalah dengan mendapatkannya daripada tisu atau tulang sebelum melaksanakan proses pemadanan dengan DNA waris mangsa.

Pensyarah Perubatan Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan Program Sains Forensik UKM, Dr Noor Hazfalinda Hamzah berkata, sampel DNA boleh didapati daripada sebanyak mungkin tisu dalam badan untuk dipadankan dengan ahli keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN:Sampel DNA pada mayat tidak sempurna daripada tisu dan tulang - Pakar

Nahas Elmina: Pemandu lori cuba selamatkan penunggang motosikal guna pemadam api

SHAH ALAM - Seorang pemandu lori cuba untuk menyelamatkan penunggang motosikal yang terlibat dalam nahas sebuah pesawat terhempas di Bandar Elmina dengan menggunakan alat pemadam api.

Kejadian yang menyayat hati itu dikongsikan sendiri oleh saksi menerusi satu hantaran video di laman sosial, TikTok milik @affyndy pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Pemandu lori cuba selamatkan penunggang motosikal guna pemadam api

Nahas Elmina: Siasatan pesawat terhempas dijangka ambil masa seminggu

KUALA LUMPUR - Tempoh siasatan bagi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie (GCE) berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam dijangka mengambil selama seminggu jika tiada kerosakan dalaman pada kotak hitam pesawat itu, kata seorang pakar industri penerbangan.

Bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, peluang kerosakan terhadap kotak hitam pesawat adalah tipis kerana kotak tersebut dibuat khusus untuk menahan panas, api dan air.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Siasatan pesawat terhempas dijangka ambil masa seminggu

19 Ogos 2023 (Sabtu)

Punca pesawat tiba-tiba terjunam

SHAH ALAM - Nahas jet peribadi terhempas di Bandar Elmina di sini yang mengorbankan 10 orang pada Khamis telah mencetuskan pelbagai persoalan memandangkan kejadian itu berlaku secara mendadak manakala pesawat tiba-tiba terjunam ke bumi.

Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan salah satu enjin atau kegagalan sistem teknikal antara punca menyebabkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) milik Jet Valet Sdn Bhd itu terhempas.

ARTIKEL BERKAITAN:Punca pesawat tiba-tiba terjunam

​​​​​Nahas Elmina: Proses bedah siasat semua mangsa selesai

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Proses bedah siasat 10 mangsa terlibat dalam nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam telah selesai dijalankan pada malam Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) sedang dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Proses bedah siasat semua mangsa selesai

Laporan nahas Elmina dalam masa 30 hari, MOT minta orang awam bantu siasatan

PUTRAJAYA - Laporan awal siasatan pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lepas akan disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 - Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), telah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bermula tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:Laporan nahas Elmina dalam masa 30 hari, MOT minta orang awam bantu siasatan

CAAM kumpul maklumat pesawat Beechcraft 390 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang mengumpul maklumat mengenai kesemua pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kesemua pesawat itu selepas diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:CAAM kumpul maklumat pesawat Beechcraft 390 di Malaysia

Nahas Elmina: Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

SUNGAI PETANI - Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, di sini pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham tiba di pekarangan masjid pada jam 2.57 petang dan selamat dikebumikan pada jam 3.45 petang selepas selesai disolatkan.

Jenazah penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lepas, disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah pada Sabtu. - Foto Bernama
Jenazah penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lepas, disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah pada Sabtu. - Foto Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

Senarai nama 10 mangsa yang terlibat:

1) Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun

2) Khairil Azwan Jamaludin

3) Shaharul Amir Omar

4) Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi

5) Muhammad Taufiq Mohd Zaki

6) Idris Abdol Talib @Ramali

Kru kapal:

Juruterbang:

7) Shahrul Kamal Roslan

8) Heikal Aras Abdul Azim

Pemandu Grab:

9) Sharipuddin Shaari

Penunggang motosikal:

10)Muhamad Hafiz Muhamad Salleh

ARTIKEL BERKAITAN

Nahas Elmina: Adik sayang mama, ucapan terakhir juruterbang

'Abang saya anak peneroka, bukan anak Jamaluddin Jarjis'

Saya bukan antara mangsa nahas di Elmina, kata anak Jamaluddin Jarjis

Nahas Elmina: Suami pesan kebumikan di kampung halaman

'Johari keluar mesyuarat secara tiba-tiba'- Syed Ibrahim

Tayamum antara kaedah urus jenazah tidak sempurna - Mufti

Nahas Elmina: Dugaan 54 hari berpantang

'Ayah, mak terduduk bila dapat tahu tentang abang' - Adik mangsa

Allahyarham Johari suka bersedekah, mudah didekati - Penduduk Pelangai

Nahas Elmina: Jenazah Muhammad Hafiz akan diserahkan kepada waris

Nahas Elmina: 'Tiada lagi rutin bersama Ustaz Deris'

'Arwah sanggup kerja siang malam nak bantu adiknya'

Nahas Elmina: Abang tunai janji pulang awal - Adik

Agong beri sumbangan peribadi kepada balu nahas pesawat Elmina

Nahas Elmina: Balu ADUN Pelangai hadir ke HTAR

Nahas Elmina: Allahyarham Muhamad Hafiz anak yang baik - Ibu

Hajat pulang melepas rindu ibu tidak kesampaian - Kakak pemandu Grab

'Arwah Johari anggap pekerja seperti keluarga sendiri'

Allahyarham Johari suka bersedekah, mudah didekati - Penduduk Pelangai

Nahas Elmina: Pemandu e-hailing sempat bergurau dengan isteri buat kali terakhir