Nahas terlalu mendadak mungkin punca tiada isyarat 'mayday' - Pakar

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam hari ini. Foto Bernama
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan juruterbang menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas dalam kejadian di Elmina, di sini memberi gambaran nahas tersebut berlaku secara mendadak.

Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, sukar untuk menganalisa sebarang kemungkinan punca berlakunya kemalangan tersebut disebabkan maklumat sedia ada yang sangat terhad.

"Sebab sebenar kemalangan tersebut tidak dapat kita pastikan buat masa kini kerana butir-butir kemalangan masih terlalu sedikit yang diperoleh.

"Namun, ketiadaan panggilan kecemasan sebelum pesawat terhempas menunjukkan kemalangan tersebut berlaku dengan mendadak.

"Buat masa ini kita masih belum boleh mengenal pasti sebab kejadian itu berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata faktor penyelenggaraan menjadi aspek penting dalam pengoperasian pesawat bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Dalam hal tersebut, beliau percaya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil kira rekod-rekod penyelenggaraan pesawat tersebut.

"Faktor-faktor yang diambil kira termasuk cuaca, kesibukan lalu lintas udara menuju destinasi, dan jumlah minyak dibawa.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, (jarak) lapangan terbang yang boleh dicapai oleh pesawat tersebut (juga diambil kira) sekiranya berlaku kecemasan dalam perjalanan.

"Satu lagi aspek yang akan diberi perhatian ialah sama ada terdapat atau tidak elemen kesilapan manusia," katanya.

Beliau juga menjelaskan, tempoh penyelenggaraan pesawat adalah tertakluk kepada jenis penyelenggaraan yang disyorkan oleh pembuat pesawat tersebut.

"Ada beberapa jenis penyelenggaraan yang perlu dilakukan mengikut jadual," katanya.

Sekurang-kurangnya sepuluh mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau 'Mayday'.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan mendapat kebenaran untuk mendarat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilapor berkata, berdasarkan pengamatan awal, pesawat berkenaan didapati melencong ke sebelah kanan daripada laluan pendaratan.