Pesawat layak terbang, penerbangan ikut tatacara - CAAM

Anggota Polis Diraja Malaysia melihat serpihan bangkai pesawat yang bertaburan di sekitar Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina pada Jumaat. - Foto Bernama
Anggota Polis Diraja Malaysia melihat serpihan bangkai pesawat yang bertaburan di sekitar Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam di Selangor semalam memiliki semua lesen dan pendaftaran yang sah termasuk sijil kelayakan terbang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud.

Beliau berkata, penerbangan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), yang didaftarkan di luar negara dan menggunakan lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara, untuk perjalanan dari Langkawi ke Subang itu mematuhi tatacara penerbangan (rules of the air) Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, semua lesen yang dimiliki syarikat pengendali pesawat yang terhempas iaitu lesen kru penerbangan, sijil pendaftaran serta sijil kelayakan terbang pesawat berkenaan adalah sah.

"Penerbangan pesawat tersebut patuh kepada rules of the air Malaysia,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam ketika dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2:08 petang.

Menurut Norazman semalam, hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang ialah pada jam 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada jam 2:48 petang.

Beliau juga berkata, tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut.

Nahas itu mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun maut.

Artikel Berkaitan:

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ditanya sama ada operasi Jetvalet Sdn Bhd dihentikan sementara, Norazman berkata:”Buat masa ini, tidak. Operasi adalah operasi persendirian (private category) yang digunakan oleh pemilik dan bukan untuk hire and reward (commercial)”.

Norazman berkata, CAAM akan membantu Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan menjalankan siasatan mengenai tragedi nahas pesawat itu dari sudut teknikal iaitu operasi penerbangan. - Bernama