Kes tipu umrah: 8 termasuk pemilik syarikat akan disambung reman

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kanan) berkata, setakat ini ada 31 laporan diterima di Selangor membabitkan kerugian RM2.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kanan) berkata, setakat ini ada 31 laporan diterima di Selangor membabitkan kerugian RM2.1 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan membuat permohonan lanjut reman lapan individu termasuk pemilik syarikat kontroversi bagi membantu siasatan kes tipu umrah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini ada 31 laporan diterima di Selangor membabitkan kerugian RM2.1 juta.

"Daripada jumlah itu, 19 laporan daripada pihak mangsa yang setiap satu mewakili keluarga masing-masing, manakala 11 laporan daripada ejen serta satu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Kes masih dalam siasatan dan esok (Sabtu) semua akan disambung reman," katanya pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan lapan individu termasuk pasangan suami isteri berusia 31 tahun merupakan pemilik syarikat itu direman tiga hari sehingga Sabtu.

Pasangan itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang, pada Rabu, untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain tindakan rampasan beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan.

Polis kemudian memaklumkan modus operandi yang digunakan dipercayai memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh pihak syarikat.

Pada Selasa, kecoh apabila kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!