Kes tipu umrah: Pemilik Kopi Nisang Asli mahu wang RM34,000 dikembalikan

KUALA TERENGGANU - Pempengaruh dan pemilik Kopi Nisang Asli, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 27, atau lebih dikenali Cikna mahu menangguhkan hasrat menunaikan umrah bersama keluarga pada bulan hadapan dengan sebuah agensi yang kini tular kerana gagal menghantar lebih 300 jemaah ke Tanah Suci Makkah.
Susulan itu, Nur Nadirah Syuhadah mahu menuntut semula wang berjumlah RM34,000 daripada pihak syarikat pengendali umrah tersebut berikutan terdapat pelbagai masalah yang timbul termasuk isu kegagalan menerbangkan jemaah ke tanah suci mengikut tempoh ditetapkan.
"Pada 1 Januari lepas, saya sudah membayar pakej untuk enam individu berjumlah RM34,000. Pakej itu termasuk saya dan suami bersama ibu, ayah, bapa mentua dan ibu mentua.
"Kami akan terbang ke tanah suci pada 12 Februari depan namun setelah melihat macam-macam masalah yang timbul maka saya tidak mahu menanggung risiko dan mahu membatalkan hasrat menunaikan umrah dengan menggunakan agensi itu.
"Saya sudah menghubungi agensi itu untuk membatalkan pakej serta mahu wang berjumlah RM34,000 dikembalikan semula, namun sehingga kini tiada respons daripada pihak terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nur Nadirah Syuhadah menyatakan dia mendapat tahu pakej umrah menggunakan agensi itu menerusi rakan-rakannya yang sebelum ini pernah menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut.
"Sebelum ini keadaan baik sahaja tetapi setelah mendapat tahu pelbagai masalah timbul melibatkan perkhidmatan ditawarkan agensi berkenaan, saya berasa risau dan takut jika kejadian sama akan berulang kepada kumpulan jemaah yang mahu pergi umrah pada bulan depan.
"Memang nak wang kami semula sebab dapat banyak maklumat daripada jemaah sebelum ini yang mengadu bahawa perkhidmatan ditawarkan juga tidak memuaskan serta 'indah khabar dari rupa'," dakwanya.
Nur Nadirah Syuhadah turut meluahkan rasa sedih kerana wang yang sudah dibayar itu merupakan wang simpanan menerusi titik peluhnya sendiri sepanjang mengusahakan perniagaan Kopi Nisang Asli.
"Apabila berlaku kejadian seperti ini, saya berharap sangat wang itu segera dikembalikan supaya kami boleh menggunakan pakej umrah menerusi agensi lain sekali gus dapat menunaikan impian dan hasrat untuk membawa keluarga ke tanah suci," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!