Inspektor Sheila ditahan, bertengkar dengan peniaga

GOMBAK - Menimbulkan kekecohan dan bertengkar dengan peniaga menjadi punca Inspektor Sheila ditahan di Batu Caves di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan itu dibuat oleh anggota polis yang bertugas di sekitar Batu Caves sempena sambutan Thaipusam.
"Seorang wanita yang kita kenali sebagai Sheila telah kita tangkap semalam kerana berlaku sedikit perkara di luar jangka yang boleh menimbulkan kekecohan.
"Antaranya berlaku pertengkaran dengan peniaga-peniaga di sini. Kita percaya ia boleh menimbulkan kekecohan, jadi kita ambil tindakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program 'Community Policing' di Batu Caves di sini pada Ahad.
Mohd Khalid berkata, penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Mengulas mengenai status Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, beliau berkata, wanita tersebut sebelum ini bertugas dengan pasukan polis, namun mempunyai beberapa isu melibatkan kesihatan.
"Perkara ini masih lagi dalam siasatan dan kita menunggu arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mengambil tindakan undang-undang dan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, seramai kira-kira 1,400 petugas telah ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang 24 jam sepanjang sambutan Thaipusam di sini.
Menurut beliau, operasi keselamatan turut dibantu oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.
"Sehingga kini tiada kejadian serius dilaporkan. Tindakan sewajarnya telah diambil bagi mengelakkan berlakunya insiden tidak diingini seperti pergaduhan kecil sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung direkodkan sempena sambutan Thaipusam tahun ini.
Ringkasan AI
- Inspektor Sheila ditahan di Batu Caves kerana bertengkar dengan peniaga semasa sambutan Thaipusam
- Penahanan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan
- Sheila adalah bekas anggota polis yang mempunyai isu kesihatan
- Kira-kira 1,400 petugas ditugaskan untuk mengawal keselamatan selama Thaipusam
- Tidak ada kejadian serius dilaporkan dengan 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung hadir semasa sambutan Thaipusam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
