Penuntut UTHM maut, empat rakan cedera kereta terbabas

MUAR – Seorang penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) cawangan Pagoh maut, manakala empat lagi rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Felda Moakil di sini pada Sabtu.
Dalam nahas kira-kira jam 1.05 tengah hari itu, Mohd Amir Faizal Hasrolnizam, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan penuntut kejuruteraan elektrik dan elektronik bersama empat lagi penuntut UTHM terbabit dalam perjalanan pulang selepas mandi-manda di kawasan air terjun berhampiran Bekok.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, Mohd Amir Faizal merupakan penumpang belakang sebuah kereta jenis Honda Accord.

“Tiga lagi penuntut UTHM iaitu pemandu kereta, Dameer Amir Mokhzani Aris, 21, mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penumpang Ameer Ikhwan Ahmad Nurul Lail, 21; Muhammad Aiman Musa, 21; dan Muhammad Hakimi Hisyamuddin, 21, cedera ringan.
“Kesemua mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Segamat. Siasatan mendapati kesemua mereka dalam perjalanan dari Labis ke pekan Pagoh.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan yang dinaiki terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 51 saat memaparkan anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Ringkasan AI
- Seorang penuntut UTHM cawangan Pagoh maut dan empat rakannya cedera dalam kemalangan di Jalan Felda Moakil
- Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala
- Mereka berada dalam perjalanan pulang daripada mandi-manda di kawasan air terjun
- Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda Accord hilang kawalan
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

