'Jangan libatkan tanah kami'

Antara pemilik tanah Kampung Sungai Pening yang hadir pada mesyuarat yang berlangsung pada Sabtu.
Antara pemilik tanah Kampung Sungai Pening yang hadir pada mesyuarat yang berlangsung pada Sabtu.
A
A
A

SEMENYIH – Pemilik tanah Kampung Sungai Pening di sini membantah sebarang usaha pengambilan tanah secara paksa bagi pembinaan pintasan jalan menghubungkan lebuh raya berdekatan seperti dirancang ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak (JKB) Penduduk Kampung Sungai Pening, Borhan Mat Saad berkata, bantahan sebulat suara itu dibuat bagi mempertahankan tanah warisan penduduk daripada pembangunan disifatkan tidak wajar.

Menurut beliau, pemilik tanah juga tidak dimaklumkan mengenai penglibatan tanah mereka dalam jajaran jalan pintas berkenaan susulan perancangan projek tapak perkuburan bersepadu di kawasan tersebut.

BORHAN
BORHAN

“Kami sebulat suara tidak bersetuju dengan projek ini. Jajaran jalan pintas hendaklah dipindahkan ke jajaran asal iaitu di luar Kampung Sungai Pening.

“Jangan sesekali melibatkan kampung kami. Ketika ini, penduduk tersepit antara projek tapak perkuburan dan perumahan terletak bersebelahan kawasan kami.

“JKB akan menghantar bantahan rasmi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi menyatakan pendirian kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Ahad selepas mesyuarat membincangkan isu berkenaan di Balai Raya Rumah Murah Kampung Pasir pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Peta cadangan jajaran jalan pintas melibatkan Kampung Sungai Pening
Peta cadangan jajaran jalan pintas melibatkan Kampung Sungai Pening

Mengulas lanjut, Borhan berkata, tindakan penduduk tidak mencerminkan penolakan sepenuhnya terhadap pembangunan, namun tidak berkompromi dalam perkara membabitkan tanah warisan masyarakat Melayu.

Katanya, penduduk kesal apabila ada dakwaan kononnya mereka bersetuju dengan projek berkenaan sedangkan hakikatnya tidak pernah dimaklumkan mengenai perancangan tersebut.

“Kami tidak dimaklumkan tanah kami terlibat dalam pembinaan jalan pintas dan tidak diberi peluang bersuara.

“Ketika ini, kami tidak tahu dari mana pihak terlibat memperoleh maklumat projek mendapat persetujuan pemilik tanah sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.

Borhan turut mendedahkan salah seorang pemilik tanah telah memulakan bantahan secara individu sejak 2019 selepas mengetahui mengenai perancangan projek tersebut.

Namun katanya, projek itu tetap diteruskan dan mengecewakan penduduk.

“Kami mengharapkan kerajaan berpegang kepada prinsip dan dasar sering ditekankan iaitu keadilan dan kesamarataan. Prinsip ini perlu diterjemahkan dan bukan sekadar retorik.

“Kami merayu tidak berlaku kekejaman atau ketidakadilan selaras prinsip Kerajaan Madani,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!