Orang ramai diminta waspada panggilan menyamar pegawai TNB

TNB menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan telefon yang mencurigakan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai TNB.
TNB menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan telefon yang mencurigakan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai TNB.
A
A
A

SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap taktik penipuan melalui panggilan telefon oleh pihak yang menyamar sebagai warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB), susulan kes sedemikian yang dilaporkan berlaku di Terengganu.

TNB berkata, pihaknya sedang meneliti maklumat yang diterima dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan lanjut.

“TNB mengambil maklum serta bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa di Terengganu akibat taktik penipuan melalui panggilan telefon oleh pihak yang memperkenalkan diri sebagai warga kerja TNB dengan tujuan memperdayakan pelanggan.

“TNB menegaskan bahawa individu yang menghubungi mangsa tersebut tidak mewakili TNB. Sehubungan itu, TNB menasihati pelanggan serta orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan mencurigakan yang mendakwa mereka daripada TNB,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.

TNB turut mengingatkan orang ramai agar tidak memberikan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat atau rekod akaun melalui telefon tanpa pengesahan rasmi.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi TNB Careline di talian 1300-88-5454 untuk mendapatkan pengesahan sekiranya menerima panggilan yang meragukan.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas yang juga pesara kerajaan mengalami kerugian RM50,000 apabila wang simpanannya lesap selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku pada Khamis, 29 Januari lalu, ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus, selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai TNB.

Beliau berkata, suspek mendakwa nama mangsa telah disalahgunakan untuk pendaftaran meter TNB yang diubah suai bagi tujuan mencuri elektrik di Pahang, sebelum panggilan itu disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa turut didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan diminta memindahkan wang simpanannya ke akaun sementara yang diberikan oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Susulan itu, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang telah membuat pindahan wang berjumlah RM50,000 ke lima akaun berbeza seperti diarahkan suspek, sebelum menyedari dirinya telah ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

Ringkasan AI

  • Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap taktik penipuan melalui panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai warga kerja TNB
  • TNB sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut atas kes penipuan
  • TNB menasihati orang ramai supaya tidak memberikan informasi peribadi melalui telefon tanpa pengesahan rasmi
  • Pelanggan boleh menghubungi TNB Careline untuk pengesahan jika menerima panggilan yang meragukan
  • Seorang warga emas kerugian RM50,000 akibat penipuan oleh individu yang mengaku sebagai pegawai TNB dan pegawai polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!