Kes tipu umrah: Suami isteri pemilik syarikat direman 3 hari bantu siasatan

Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang. Gambar kecil: Iman Norhizam
Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang. Gambar kecil: Iman Norhizam
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat pelancongan kontroversi kerana didakwa gagal menerbangkan jemaah, direman selama tiga hari bermula Khamis.

Peguam yang mewakili pasangan terbabit, Iman Norhizam berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan umrah.

Beliau berkata, Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan reman selama tiga hari sehingga Sabtu.

"Selain pasangan terbabit, enam pekerja syarikat agensi pelancongan itu juga direman tiga hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iman berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Setakat Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sebanyak tujuh laporan polis diterima melibatkan kerugian RM100,000 di negeri itu.

Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan semenjak tahun 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lalu.

Pada Selasa, kecoh di media sosial apabila kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!