Radar Maritim Pulau Tengkorak sasar banteras penyeludup rokok, PATI

Kesemua anggota Maritim Malaysia Kelantan dan media bergambar selepas bermain boling. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Kesemua anggota Maritim Malaysia Kelantan dan media bergambar selepas bermain boling. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Pembinaan sistem radar pengawasan Remote Sensored Site (RSS) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan di Pulau Tengkorak, Tumpat dicadang sebagai benteng bagi mematahkan aktiviti penyeludupan termasuk rokok dan pendatang tanpa izin (PATI) di sempadan Malaysia–Thailand.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, lokasi Pulau Tengkorak dipilih kerana kedudukannya yang strategik berhampiran muara Sungai Golok dengan jarak ke sempadan Thailand sangat dekat dan sukar dipantau secara berterusan tanpa bantuan teknologi.

“Pulau Tengkorak memang kawasan hotspot laluan penyeludupan rokok, PATI dan aktiviti penyeludupan lain kerana kawasan sunyi serta terpencil.

“Adanya radar, pemantauan pergerakan bot keluar masuk kawasan ini akan lebih mudah dan berkesan dengan jangkauan pemantauan sehingga 10 batu nautika,” katanya selepas menyertai boling Maritim bersama Media Kelantan di sini pada Ahad.

Beliau memberitahu, radar itu akan menjadi sebahagian daripada rancangan pemasangan radar di Pantai Timur yang turut melibatkan pembinaan di Pahang dan Terengganu.

Mengulas penguatkuasaan di kawasan sempadan, katanya, penugasan pihak Maritim Malaysia makin mencabar apabila penyeludup menggunakan bot kecil untuk memindahkan muatan rokok atau PATI dari kapal besar ke daratan.

“Sebelum ini, kami tahan bot besar yang bawa rokok dalam kontena, tapi modus operandi sekarang lebih halus.

“Mereka guna bot kecil untuk menyusup masuk lebih dalam di laluan sungai dan tanpa radar, sukar nak kenal pasti,” jelas beliau.

Tambah beliau, rekod tangkapan menunjukkan aktiviti penyeludupan berlaku dan tahun lepas, pihaknya berjaya menahan bot nelayan dengan muatan lebih 2,000 kotak rokok selain terdapat kes membawa 13 PATI ke darat melalui laluan di Pulau Tengkorak.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, projek radar di Pulau Tengkorak juga akan disertai dengan pembinaan Pejabat Maritim Pengkalan Kubor di tanah seluas 2.83 hektar.

“Projek ini dalam proses perolehan tanah dan dijangka akan dimasukkan dalam Rolling Plan kedua tahun ini,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Pembinaan sistem radar di Pulau Tengkorak, Kelantan bertujuan mematahkan aktiviti penyeludupan
  • Lokasi strategik berhampiran muara Sungai Golok memudahkan pemantauan aktiviti penyeludupan
  • Penggunaan radar memudahkan pemantauan pergerakan bot dengan jangkauan sehingga 10 batu nautika
  • Radar menjadi sebahagian daripada rancangan pemasangan radar di Pantai Timur termasuk Pahang dan Terengganu
  • Projek radar disertai pembinaan Pejabat Maritim Pengkalan Kubor di tanah seluas 2.83 hektar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!