'Jika benar polis pukul, kita ambil tindakan' - KP Terengganu

Hantaran tular di media sosial mendakwa seorang lelaki cedera akibat dipukul anggota polis dalam kejadian di Dungun pada Jumaat. - Gambar kecil (Mohd Khairi)
Hantaran tular di media sosial mendakwa seorang lelaki cedera akibat dipukul anggota polis dalam kejadian di Dungun pada Jumaat. - Gambar kecil (Mohd Khairi)
A
A
A

KUALA NERUS – Polis Terengganu memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana anggota sekiranya siasatan mendapati wujud salah laku berhubung dakwaan seorang individu dipukul dalam kejadian yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian yang didakwa berlaku semasa Ops Samseng Jalanan di daerah Dungun.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap insiden itu.

“Saya juga ingin mengetahui siapa pelaku kejadian tersebut yang melibatkan seorang individu lelaki yang mendakwa dipukul.

“Jika hasil siasatan mendapati dakwaan itu benar serta melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya tidak akan melindungi mana-mana pelaku dan tindakan tegas akan diambil,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di sini pada Ahad.

Mohd Khairi berkata, walaupun terdapat satu rakaman video yang tular, kejadian pukul seperti yang didakwa tidak kelihatan dalam rakaman tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu tetap diberi perhatian serius dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Saya telah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Dungun untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu terlibat.

“Ketika ini, siasatan masih diteruskan dengan memanggil pengadu bagi melengkapkan keterangan. Sekiranya terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut, maklumat mereka juga akan diambil kira,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular hantaran di media sosial pada Sabtu yang menunjukkan seorang lelaki cedera didakwa akibat dipukul ketika operasi dijalankan pihak polis.

Dalam operasi sama, polis menahan 157 motosikal selepas beberapa kumpulan samseng jalanan dikesan menjadikan kawasan sekitar bandar Dungun sebagai litar untuk melakukan aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan pada Jumaat.

Kesemua motosikal yang ditahan melibatkan penunggang berusia antara 15 hingga 30-an.

Operasi tersebut dijalankan di Jalan Batu 49 hingga persimpangan lampu isyarat Alor Tempoyak serta Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung hasil risikan dan aduan penduduk setempat.

Ringkasan AI

  • Polis Terengganu berjanji tidak akan melindungi anggota yang bersalah dalam insiden dipukul yang tular di media sosial
  • Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan untuk kes berlaku semasa Ops Samseng Jalanan
  • Tindakan tegas akan diambil sekiranya anggota PDRM terlibat dalam salah laku tersebut
  • Siasatan terperinci sedang dijalankan walaupun video yang tular tidak menunjukkan adegan pukul
  • Operasi tersebut menyebabkan 157 motosikal ditahan melibatkan penunggang berusia 15 hingga 30 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!