Moksu bedak sejuk viral meninggal dunia

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Warga emas yang dikenali sebagai 'moksu bedak sejuk viral' yang tular di media sosial, Allahyarham Tengku Jariahhanna Tuan Ismail, 71, meninggal dunia selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran bulatan Jam Besar di sini pada Ahad.
Adik Allahyarham, Tengku Ahmad Fakri, 68, berkata, kakaknya itu mempunyai rutin harian keluar dari rumah sekitar jam 7 pagi untuk bersarapan di sekitar bandar Kota Bharu.
“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, sebuah kenderaan melalui jalan berhampiran bulatan Jam Besar sebelum arwah yang sedang melintas jalan dipercayai dilanggar dan pemandu terbabit melarikan diri.
“Arwah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, Allahyarham merupakan anak keempat daripada lapan beradik dan dikenali ramai penduduk tempatan kerana gelagatnya yang bersahaja, menghiburkan, pandai berpantun dan sering berada di sekitar bandar Kota Bharu.
Ujarnya, kakaknya itu pernah mengalami demam panas pada usia remaja sebelum kesihatannya semakin merosok.
“Pada usia 17 tahun sekitar 1972, arwah mula mengalami gangguan kesihatan mental, bercakap sendiri dan pernah dimasukkan ke Hospital Mental, Berek 12.
“Bagaimanapun, arwah pernah pulih seketika dan bergantung kepada rawatan serta ubat-ubatan sebelum kembali stabil sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, Allahyarham seorang yang aktif serta pernah bergiat sebagai atlet semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Biji Wangsa, Tumpat.
Ujarnya, jenazah Tengku Jariahhanna akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh di sini.
Moksu bedak sejuk viral terkenal dalam kalangan masyarakat setempat dengan penampilan berbaju kurung, berbedak sejuk diwajahnya dan suka berpantun.
Sikap peramah serta cerianya sentiasa mencuit hati orang ramai dan setiap kali menerima sedekah, dia akan mendoakan pemberi dengan penuh bersemangat.
Ringkasan AI
- Warga emas dikenali sebagai 'moksu bedak sejuk viral' meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya
- Adik Allahyarham berkongsi rutin harian keluar rumah untuk bersarapan di bandar Kota Bharu
- Allahyarham dilanggar kenderaan yang lalu dan pemandu melarikan diri berhampiran bulatan Jam Besar
- Allahyarham dikenali kerana gelagat bersahaja, berpantun dan sering berada di sekitar bandar Kota Bharu
- Allahyarham pernah mengalami gangguan kesihatan mental pada usia 17 tetapi kembali stabil selepas rawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

