Penunggang motosikal maut digilis treler

KLANG – Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah treler dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru/Jalan Salleh di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner, S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 4.45 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah treler dan sebuah motosikal yang datang dari arah Meru menghala ke Klang.
“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan cuba memotong treler di laluan sebelah kiri sebelum hilang kawalan.
“Motosikal itu kemudian terjatuh ke bahagian bawah treler berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu treler yang merupakan lelaki tempatan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli di talian 017-5843 860 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang penunggang motosikal maut digilis treler di Klang
- Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala
- Kemalangan berlaku apabila motosikal cuba memotong treler di laluan sebelah kiri dan hilang kawalan
- Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

