REE: Saifuddin dedah gambar Sanusi bersama warga China, dokumen MBI

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat pendedahan terbaharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menunjukkan gambar seorang warganegara China yang dikaitkan dengan kegiatan REE bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sebuah majlis.

Menurutnya, lelaki terbabit yang dikenali sebagai So Loi Fat itu dipercayai salah seorang daripada dua pekerja mahir yang didakwa dibawa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah ke negeri ini.

Selain gambar, dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dimohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman turut didedahkan.

“Ini surat permohonan Pas Lawatan Ikhtisas untuk dua warga China tersebut dengan tertulis majikannya MBI. Walaupun terdapat penafian oleh pengurusan tertinggi MBI berhubung perkara itu, saya ada bukti sebaliknya.

“Sekiranya ia palsu, mereka dialu-alukan membuat laporan polis kerana ini akan membolehkan siasatan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah pada Selasa.

Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof.

Saifuddin berkata, surat ditandatangani Muhammad Sanusi dan CEO MBI itu jelas tertera nama dua warga China yang dibangkitkan sebelum ini, namun dinafikan kaitannya dengan isu REE.

“Walaupun Sanusi dakwa MBI dan jawatan menteri besar sebuah entiti berbeza, ia tak bermakna beliau boleh cuci tangan. Sangat lucu dan tidak wajar kalau Sanusi kata dia tak terlibat dalam tadbir urus MBI sedangkan beliau yang membentuk lembaga penasihat MBI,” katanya.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi harus bertanggungjawab dan berani menjawab persoalan dibangkitkan.

“Jangan kalih pada isu lain. Ini ruang berikan penjelasan daripada aspek tata kelola sebuah kerajaan. Mengelak bukan satu pilihan,” katanya.

Tambahnya lagi, siri pendedahan REE dibuat untuk memberi gambaran kepada rakyat mengenai kepincangan pentadbiran Muhammad Sanusi sehingga MBI terjebak dalam kecurian bahan mineral itu.

“Penafian Muhammad Sobri mengenai keberadaan individu warga China dalam syarikat serta laporan polis Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI juga menimbulkan lebih banyak persoalan,” soalnya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mempersoalkan tindakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah yang turut menganggotai Lembaga Penasihat MBI itu mendiamkan diri.

“Ia seolah wujud konflik kepentingan sehinggakan PTG tidak buka kertas siasatan terhadap rampasan lebih 360 guni dipercayai REE, Januari lalu. Jabatan Perhutanan Kedah dan Jabatan Mineral dan Galian (JMG) buka kertas siasatan, polis dan SPRM buka kertas siasatan tetapi PTG yang berkuasa bawah enakmen mineral tidak buka kertas siasatan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kenyataan Muhammad Sanusi mendakwa beliau menggunakan kekuatan agensi penguatkuasaan bagi memberi tekanan kepada pimpinan kerajaan Kedah juga dipersoalkan.

"Sanusi pun ambil maklumat gunakan jawatan Menteri Besar dan mengkritik di pentas politik. Bila saya bangkitkan hujah politik, tuntutan saya adalah supaya beliau menjawab persoalan ini.

"Saya cuma menyusun dan meletakkan perspektif yang betul kepada rakyat Kedah, bahawa kecurian ini serius dan melanggar undang-undang tetapi Menteri Besar memilih untuk mengelak. Saya boleh bagi masa untuk dia jawab sebab Sanusi ada akses kepada semua maklumat,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menegaskan tidak mempunyai kuasa eksekutif kepada MBI Kedah sehingga mengetahui seluruh perjalanan operasi projek.

Ini termasuk kedudukan dua warga China yang dibawa masuk ke negara ini oleh MBI Kedah untuk melakukan kerja meneroka REE di Bukit Enggang, Sik seperti dipersoalkan Saifuddin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu juga menegaskan tidak perlu menjawab persoalan dibangkitkan pemimpin politik, sebaliknya hanya akan berbuat demikian kepada polis dan SPRM berhubung kes berkenaan.

Saifuddin sebaliknya menyifatkan perbuatan itu sebagai cubaan Muhammad Sanusi mengelakkan diri daripada mendedahkan isu sebenar.

“Itu jelas cubaan mengelak sebab watak Sanusi yang kita kenal, apa yang dia tak jawab. Pantang terlintas, semua dia jawab. Sukar bayangkan ketika saya berikan soalan-soalan mudah, masih mengelak. Kita lawan politik cara politik, hujah jawab lah dengan hujah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 52 lelaki ditahan teroka REE secara haram

REE: Kedah tegaskan tiada aktiviti perlombongan

Amanah Kedah dakwa aktiviti korek REE masih berlaku

Kecurian REE: Kerajaan Kedah diminta perjelas dakwaan - Mahdzir

REE: PKR Kedah lapor SPRM, gesa siasat Sanusi

REE: Saifuddin dedah MBI Kedah terima kompaun

Sanusi sedia saman Saifuddin

Saifuddin 'tunggu' saman Sanusi

Saifuddin minta Sanusi dedah identiti lelaki China ditahan berkaitan REE

REE: Saya belum terima kunjungan SPRM - Sanusi

Saifuddin dakwa MBI tahu isu kecurian REE di Sik

'Sanusi dah hantar surat saman, kita lawan di mahkamah' - Saifuddin

Isu REE: SPRM disaran tanya Takiyuddin - Mahadzir

Sanusi belum dipanggil SPRM, 10 Exco Kedah turut diambil keterangan

Saifuddin akan teruskan siri pendedahan isu REE