Kecurian REE: Kerajaan Kedah diminta perjelas dakwaan - Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar seharusnya menyiasat kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran dan bukan menangkis sebarang dakwaan sebagai cubaan memfitnah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Pas sengaja memainkan naratif mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor difitnah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik.

Menurutnya, sebaliknya Perbadanan Menteri Besar (MBI) dikenakan kompaun kerana terlibat dalam kejadian tersebut.

“Sebab itu Muhammad Sanusi wajar perjelaskan setiap dakwaan, termasuk persoalan yang dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk memberikan gambaran tepat berhubung isu tersebut.

“Kenyataan Saifuddin dibuat di pentas terbuka malah ada dokumen yang menyokong persoalan dibangkitkan, beliau ada fakta jadi tak timbul fitnah,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Mahdzir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya yang menyelar tindakan beberapa menteri termasuk Saifuddin didakwa memfitnah Muhammad Sanusi sebagai usaha menjatuhkan reputasi Menteri Besar Kedah itu.

Ia susulan pendedahan Saifuddin berhubung MBI Kedah dikenakan kompaun kerana terlibat dalam kecurian REE.

Sebelum itu, beliau turut mendedahkan kerajaan negeri menggunakan sebahagian peruntukan penyelenggaraan jalan (MARIS) bagi tujuan pembangunan negeri ini.

Mahdzir tegaskan, sebagai bekas Menteri Besar Kedah, setiap pihak terlibat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum diberikan kelulusan dalam aktiviti perlombongan.

“Saya tahu untuk semua jenis perlombongan mesti mendapat kelulusan Pejabat Tanah daerah. Sebelum dapatkan kelulusan perlu memenuhi kriteria dan SOP perlombongan.

“Antara agensi terlibat Jabatan Alam Sekitar, kalau penuhi syarat maknanya boleh melombong. Sekarang kita tak tahu apa yang berlaku di Bukit Enggang,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya Pas mendakwa kerajaan negeri mahupun Muhammad Sanusi difitnah, bawalah perkara itu ke mahkamah atau buat laporan polis untuk siasatan dilakukan.

“Kerajaan negeri perlu jawab semua tuduhan dilemparkan, rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku,” ujarnya.