Warga emas maut ditembak jiran

JULAU - Seorang lelaki warga emas maut selepas ditembak jiran dalam kejadian di kaki lima Rumah Panjang Minis Sungai Minus Entabai, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Vincient Anak Belingau, 69, dilaporkan parah di bahagian bahu kanan sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Nanga Entaih.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Alif Haiqal Ramesh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari sebelum siasatan dijalankan.
"Ketika kejadian, mangsa yang juga seorang pekebun berada di kaki lima rumah panjang tersebut selepas pulang dari kebun sawit.
"Siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki berusia 43 tahun, dipercayai berlari dari sebuah bilik, sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Alif Haiqal berkata, seorang saksi yang berada di lokasi berhampiran memaklumkan terdengar bunyi tembakan sebelum melihat mangsa rebah.
"Anak mangsa yang berada di bilik lain kemudian membawa bapanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan tembakan yang menyebabkan pendarahan teruk," katanya.
Katanya lagi, suspek kemudian ditahan kira-kira jam 1.35 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau di rumah panjang berkenaan.
"Sepucuk senapang patah bersama sejumlah peluru hidup dan kelongsong peluru pelbagai jenama antara yang dirampas di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut mendapati pada hari kejadian sekitar jam 5 pagi, suspek dikatakan berang selepas ditegur oleh mangsa supaya tidak bermain senjata api di kawasan rumah panjang.
"Motif dipercayai kerana rasa tidak puas hati suspek terhadap teguran beberapa kali yang diberikan oleh mangsa.
"Pemeriksaan mendapati senapang patah yang digunakan suspek juga merupakan milik ibunya dan dipercayai diambil tanpa kebenaran dari tempat simpanan sebelum digunakan dalam kejadian tersebut," katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas maut ditembak jiran di kaki lima Rumah Panjang Minis Sungai Minus Entabai
- Vincient Anak Belingau, 69, meninggal akibat luka tembak di bahu kanan
- Suspek, 43 tahun, melepaskan tembakan menggunakan senapang patah kerana tidak puas hati dengan teguran mangsa
- Senapang patah yang digunakan adalah milik ibu suspek dan diambil tanpa kebenaran
- Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
