Siasatan guling kerajaan: Tony Pua imbau disiasat kes 1MDB

Tony Pua
Tony Pua
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan polis terhadap dakwaan konspirasi menggulingkan kerajaan mengundang reaksi bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan situasi itu seolah-olah berulang.

Beliau mendakwa pernah dianiaya dan disiasat polis atas konspirasi dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen selain dihalang daripada meninggalkan negara.

Menurutnya, tindakan itu berlaku susulan skandal melibatkan syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dianggapnya sebagai 'nenek moyang kepada segala skandal' membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kini polis sekali lagi menyiasat satu dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, melibatkan kononnya seorang individu berpengaruh dan sebuah agensi media antarabangsa. Adakah disebabkan skandal mafia korporat Azam Baki dan SPRM?

"Bunyinya seperti deja vu. Perdana Menteri Reformasi kita mesti menghentikan perkara mengarut ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Julai 2015, Tony yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilarang melakukan perjalanan ke Yogyakarta, Indonesia, selepas Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen bahawa ahli politik DAP tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Imigresen yang melarangnya ke luar negara.

Tony memohon pengisytiharan bahawa perintah larangan yang dikenakan ke atasnya pada 22 Julai 2015 adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.

Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis dibuat di ibu negara pada jam 10.29 pagi Khamis berhubung dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan itu, sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa menggunakan khidmat agensi perhubungan awam dan media antarabangsa dalam usaha memberi tekanan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Pengadu mendakwa wujud perbincangan dalam kalangan sekumpulan individu untuk menggunakan sekurang-kurangnya lima media antarabangsa bagi memberi tekanan, khususnya berkaitan usaha menggugurkan dakwaan dalam siasatan yang melibatkan agensi berkenaan.

Ringkasan AI

  • Siasatan polis terhadap konspirasi menggulingkan kerajaan mendapat reaksi dari Tony Pua yang merasa situasi tersebut berulang
  • Tony Pua mengaku pernah disiasat dan dihalang dari meninggalkan negara berkaitan konspirasi memudaratkan demokrasi
  • Tindakan tersebut berkaitan dengan skandal 1MDB yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
  • Siasatan terbaru melibatkan dakwaan konspirasi dengan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berkaitan skandal Azam Baki dan SPRM
  • Laporan polis dibuat mengenai usaha keluarga berpengaruh menggunakan media antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!