REE: Saifuddin dedah MBI Kedah terima kompaun

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

YAN - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah menerima kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kampung Chong, Sik.

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan pada 4 Oktober tahun lalu oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Mohd Fauzi Mustaffa dan dialamatkan kepada Pengerusi MBI iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 24 September 2022 pada jam 2.30 petang di kampung terbabit.

"Kompaun itu di bawah Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara. Kita lantik Menteri Besar untuk urus negeri, bukan jadi pencuri," katanya ketika Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak di sini pada Sabtu.

Saifuddin berkata, pendedahan itu hanya permulaan kerana akan ada siri pendedahan dengan dokumen lengkap memandangkan mereka percaya dengan kecerdikan rakyat Kedah.

"Yakinlah semua, kita akan turun terangkan dengan elok dalam siri-siri penerangan kita," ujarnya.

Sebelum ini, polis Kedah dilaporkan membongkar kegiatan pemerdagangan manusia dan kecurian REE di Bukit Enggang, Sik selepas menahan sembilan individu hujung bulan lalu.

Susulan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menuntut kerajaan negeri memberikan penjelasan terhadap pelbagai persoalan berkaitan isu penerokaan dan kecurian REE yang didakwa masih berlaku susulan penahanan beberapa individu terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!