Saifuddin akan teruskan siri pendedahan isu REE

Saifuddin berucap pada ceramah Pentas Anak Muda di Bandar Perda pada Isnin malam. - Foto Bernama
Saifuddin berucap pada ceramah Pentas Anak Muda di Bandar Perda pada Isnin malam. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan meneruskan siri pendedahan berhubung isu unsur nadir bumi (REE) meskipun sudah menerima notis undang-undang daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, ini kerana Muhammad Sanusi masih belum menjawab beberapa soalan yang sekali gus menimbulkan kemusykilan.

"Misalnya saya kata dua personaliti yang kebetulan merupakan warganegara China yang masuk ke sini melalui kemudahan yang diberikan oleh Menteri Besar kepada Menteri Dalam Negeri waktu itu.

"Ada suratnya dan hasil surat itu, kedua-dua orang ini masuk dan rekodnya adalah menjawat jawatan yang majikannya Perbadanan Menteri Besar Kedah. Dia kena jawab ini dulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pentas Anak Muda N.01 Seberang Jaya di sini malam ini.

Jumaat lepas, Saifuddin mengesahkan menerima notis undang-undang daripada Muhammad Sanusi berhubung isu REE dan menyatakan kesediaan beliau untuk bertemu di mahkamah.

Saifuddin, yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, meminta pengundi Pulau Pinang agar tidak melakukan eksperimen pada Pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini dengan mengundi parti politik baharu.

"Ini bukan eksperimen. Fokus kepada pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan negeri Pulau Pinang selama 15 tahun yang juga menjaga kebajikan rakyat, meyakinkan pelabur luar dan menjaga keharmonian kaum,” katanya.

Ketua Setiausaha Sekretariat Perpaduan Nasional itu berkata, kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya adalah penting kerana bakal menyumbangkan satu kerusi kepada kerajaan negeri untuk kekal mentadbir di Pulau Mutiara itu.

Pada PRN kali ini, DUN Seberang Jaya menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Johari Kassim daripada Pakatan Harapan (PH) dan Izhar Shah Arif Shah yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Afif Bahardin daripada PKR menang di DUN itu dengan meraih 16,014 undi menewaskan Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin (BN) yang mendapat 8,593 undi dan Ahmad Rafaei Rashid (PAS) dengan 5,540 undi. - Bernama