Sanusi sedia saman Saifuddin

Muhammad Sanusi, Saifuddin Nasution
Muhammad Sanusi, Saifuddin Nasution
A
A
A

BANDAR BAHARU - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, maklumat yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana dianggap mengelirukan dan bermotifkan politik.

Menurut Muhammad Sanusi, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi terbabit adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

“Satu permit penggunaan telah dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usahasama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat tersebut yang dikompaun.

“Pihak ketiga yang dikompaun kerana menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah peringkat Daerah Bandar Baharu, di sini, pada Ahad.

"Menuduh saya mencuri itu clear cut (jelas) saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pendedahan Saifuddin berhubung MBI Kedah yang menerima kompaun RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri unsur nadir bumi REE di Kampung Chong, Sik.

Menurut Saifuddin, kompaun itu dikeluarkan pada 4 Oktober tahun lalu oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Mohd Fauzi Mustaffa (ketika itu) dan dialamatkan kepada Pengerusi MBI iaitu Muhammad Sanusi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai kesemua isu berkenaan dan menasihatkan agar Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.

"Kita kerajaan negeri bukan pejabat di tepi ayaq acaq (air lumpur/sisa), Kementerian Dalam Negeri (KDN) nak buat kerja Kementerian Sumber Asli pula, jaga KDN lagi banyak isu.

“Saya sudah terangkan isu ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan saya juga tak pernah terima surat saman atau kompaun. Dia sebut saya disaman bukan lagi untuk (modal) berkempen tetapi mempamerkan kejahatannya," katanya.

Dakwa Muhammad Sanusi, Saifuddin kemungkinan mencuri maklumat tidak lengkap yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Saya ingat maklumat itu dicuri sebab separuh masak bagi tujuan mengenakan kita dengan jalan yang salah, Menteri KDN tak boleh buat kerja begitu, buatlah kerja ikut saluran undang-undang, ada agensi dan jabatan, jangan curi maklumat kerajaan pi sebut dalam ceramah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan baki peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta ada dalam simpanan tetap Kerajaan Negeri dan ia dilaporkan dalam penyata Kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Tidak ada langsung salah guna peruntukan sepertimana yang disebut oleh menteri, jika ada salah laku, sudah tentu perkara ini telah dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

“Apa yang dibangkitkan oleh Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum tahun 2014. Jika hendak dikatakan meyalahi tata kelola pengurusan kewangan, salah laku ini berlaku sebelum tahun 2014 bukan semasa pentadbiran kerajaan saya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!