REE: PKR Kedah lapor SPRM, gesa siasat Sanusi

Firdaus (tengah) selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar pada Selasa.
Firdaus (tengah) selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan dijalankan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa dalam pengurusan projek penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Timbalan Pengarah Strategi Keadilan Kedah, Firdaus Johari berkata, laporan itu dibuat berikutan timbul keraguan terhadap pengurusan projek penerokaan mineral di kawasan tersebut yang bernilai hampir RM60 bilion oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI).

"Kita merujuk kepada dua artikel media iaitu 'Gerakan Anti Sanusi (GAS) serah memorandum berkaitan REE' pada 2 Mac lepas dan 'Kerajaan Kedah digesa beri penjelasan isu teroka kecurian REE' pada 14 Julai lalu.

"Melalui artikel ini, kami mengesyaki berlakunya unsur salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan projek penerokaan REE itu," katanya.

Firdaus berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah di sini pada Selasa.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut merujuk satu ciapan di Twitter oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkaitan satu surat bertarikh 3 Ogos 2020.

"Surat itu menunjukkan Menteri Besar Kedah telah memohon Pas Lawatan Pekerja Asing dari China untuk bekerja di tapak berkeluasan 1,220 hektar di Sik, Kedah yang ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Bagaimanapun, tindakan Menteri Besar Kedah membuat permohonan ini adalahdi luar bidang kuasa kerana sepatutnya permohonan dibuat oleh syarikat yang dilantik," katanya.

Justeru kata Firdaus, pihaknya bimbang tindakan Menteri Besar Kedah itu adalah satu bentuk ketirisan kuasa dan terdapat unsur rasuah dari syarikat terlibat.

Beliau menambah, pihaknya mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya salah guna kuasa dan penyelewengan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pihaknya mengesa SPRM supaya melakukan siasatan penuh dan terperinci berhubung aduan salah guna kuasa itu.