Letupan di Nilai: Ayang meninggal dunia di HKL

NILAI — Lelaki warga emas dikenali sebagai 'Ayang' yang sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Nilai pada Disember lalu disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya berkata, Yeoh Hock Sun,63, meninggal dunia jam 8.30 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Kematiannya dimaklumkan oleh anggota pengiring Penjara Kajang.
"Punca kematian dikenal pasti akibat 'refretory shock' iaitu keadaan renjatan (shock) yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard sudah diberikan secara optimum," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada 9 Januari lalu, tertuduh terpaksa didakwa di Hospital Tuanku Jaafar di sini kerana sedang dirawat akibat kecederaan dialami dalam letupan yang berlaku.
Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi L200 Triton milik seorang lelaki berusia 47 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 5.55 pagi di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut tiga pertuduhan lain, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia berniat menggunakannya bagi maksud menyebabkan kecederaan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada tarikh sama antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, masing-masing di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai.
Bagi kesalahan berkenaan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 4 akta yang sama kerana menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) secara salah dan dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan.
Ringkasan AI
- Lelaki warga emas dikenali sebagai 'Ayang' meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat 'refretory shock'
- Yeoh Hock Sun didakwa atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri di Nilai
- Pengakuan tidak bersalah telah dibuat oleh Yeoh Hock Sun bagi semua pertuduhan
- Didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang merosakkan sebuah kenderaan pada 22 Disember
- Dia juga didakwa memiliki bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

