REE: Kedah tegaskan tiada aktiviti perlombongan

Muhammad Sanusi (Laporan Sinar Harian pada Sabtu.)
Muhammad Sanusi (Laporan Sinar Harian pada Sabtu.)
A
A
A

ALOR SETAR - Penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik masih di peringkat penyediaan laporan penilaian alam sekeliling (EIA).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada aktiviti perlombongan dilakukan sehingga kini kecuali yang diteroka secara haram oleh pihak tertentu yang sudah pun dikenakan tindakan.

Menurutnya, syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji hasil mineral tersebut sedang menyediakan laporan EIA untuk fasa berikutnya sebelum cari gali dibenarkan.

“Mereka yang curi REE tu memang tidak ada EIA, buat pun secara tidak sah. Syarikat yang MBI Kedah (Perbadanan Menteri Besar Kedah) jalin kerjasama dan berikan lesen masih lengkapkan proses EIA,” katanya di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi tegaskan, tiada jalan pintas atau pengecualian diberikan kepada syarikat usahasama yang menjayakan projek kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri lakukan semua proses mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada, antaranya sediakan laporan EIA yang lengkap selain tunggu prosedur operasi standard (SOP) untuk melombong. Kita tidak akan bertindak sesuka hati,” ujarnya.

Disebabkan itu, jelasnya, kerja-kerja mengeksplorasi sehingga kini belum dilakukan secara sah kerana masih menunggu SOP daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Dalam pada itu, beliau membidas pihak yang masih mempersoal kewajaran Kedah untuk meneroka REE sehinggakan meminta kerajaan Persekutuan menasihati kerajaan negeri untuk tidak meluluskan perlombongan mineral tersebut.

“Semua pihak perlu ikut setiap prosedur ditetapkan oleh undang-undang, yang mencuri (REE) telah ditangkap dan didakwa.

“Namun ada juga pihak yang tidak tahu apa-apa, asyik mencari jalan untuk cetuskan provokasi, spekulasi atau tohmahan untuk kepentingan politik. Yang itu kita tak boleh buat apa lah, biarkan saja mereka nak bercakap,” katanya.

Pada Sabtu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memastikan Kedah tidak meluluskan kegiatan perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang kerana dibimbangi aktiviti perlombongan dan kuari dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Mac lalu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memaklumkan Kedah tidak melakukan kesalahan dalam memberikan kelulusan untuk melaksanakan pengambilan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, kerana aktiviti tersebut di bawah kuasa pihak berkuasa negeri (PBN) melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing untuk memberikan kelulusan bagi aktiviti cari gali dan penjelajahan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu, tiada laporan EIA dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan REE di Kedah susulan kerajaan negeri belum mengemukakan laporan tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

MBI Kedah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dalam usaha penerokaan maklumat dan kepakaran dalam industri perlombongan REE pada 11 Januari lalu.

Sebelum itu, pada Oktober lepas, kerajaan negeri mengesahkan berlakunya kegiatan mencuri REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, namun tidak membabitkan kerajaan negeri atau syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberi lesen eksplorasi mengkaji potensi mineral itu.