Ahmad Zahid pelawa dua beradik mangsa kebakaran Raub sambut Aidilfitri bersama

Ahmad Zahid menyantuni Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam melalui panggilan video pada Jumaat.
Ahmad Zahid menyantuni Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam melalui panggilan video pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempelawa dua beradik yang kehilangan lima ahli keluarga dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Raub untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya.

Pelawaan itu dibuat ketika beliau menyantuni Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, melalui panggilan video yang disiarkan di akaun TikTok miliknya pada Jumaat.

Menurut beliau, hasrat berkenaan dizahirkan isterinya, Datin Seri Hamidah untuk disampaikan kepada dua beradik berkenaan.

"Isteri saya kirim salam dan lepas balik dari umrah nanti, insya-ALLAH kami akan melawat kamu berdua.

“Kami tawar supaya untuk hari raya nanti, duduk dengan kami kalau sudilah. Untuk persiapan raya, ada sedikit yang akan kami bantu,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Dalam perbualan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi jaminan bahawa masa depan pendidikan dua beradik berkenaan akan dipelihara sepenuhnya di bawah tanggungjawab Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ruby Adalia Balqis (dua dari kiri) dan Ahmad Balia Murqam (kanan) menerima panggilan video daripada Ahmad Zahid pada Jumaat.
Ruby Adalia Balqis (dua dari kiri) dan Ahmad Balia Murqam (kanan) menerima panggilan video daripada Ahmad Zahid pada Jumaat.

Tegas beliau, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah diarahkan untuk menghubungi mereka bagi urusan pengambilan sebagai anak angkat agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"MARA ini bawah kementerian saya, jadi kita akan pantau untuk memastikan dari segi pendidikan dan mengambil kepedulian mengenai masa depan Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam.

"Kita akan bantu sedaya boleh, bukan sahaja dari segi perbelanjaan bulanan, malah kita juga akan urus urusan melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi nanti," jelas beliau.

Ahmad Zahid turut menitipkan pesanan agar Ruby Adalia Balqis yang kini menuntut di kolej matrikulasi terus tabah dan memberikan fokus sepenuhnya kepada pengajian.

Kata beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bagi memastikan kebajikan remaja itu terus terjaga.

"Kita minta supaya Ruby dan Ahmad Balia reda dengan apa yang berlaku, sabar.. Insya-Allah ramai yang simpati dan ramai akan membantu.

"Dalam hal ini, Ruby fokus kepada pelajaran," katanya yang turut bersimpati dengan kejadian menimpa keluarga dua beradik itu.

Pada Khamis, media melaporkan tragedi kebakaran rumah dan mangsa maut bapanya, Mohd Alawi Muhammad, 56, dan ibu, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44.

Tiga adiknya, Ruby Adira Batrieisya Mohd Alawi, 17 Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.

Dua beradik yang terselamat itu berada di asrama semasa kejadian.

Ringkasan AI

  • Ahmad Zahid mempelawa dua beradik yatim piatu akibat tragedi kebakaran untuk menyambut Hari Raya bersama keluarganya
  • Pelawaan ini disampaikan menerusi panggilan video yang disiarkan di TikTok
  • Isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah, turut menyampaikan hasrat untuk membantu persiapan Hari Raya kedua beradik tersebut
  • Ahmad Zahid menjamin masa depan pendidikan kedua beradik di bawah MARA
  • Tragedi kebakaran membawa maut lima ahli keluarga kedua beradik tersebut, mereka berdua berada di asrama semasa kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!