Isu REE: SPRM disaran tanya Takiyuddin - Mahadzir

Dari kiri: Mahadzir, Takiyuddin
Dari kiri: Mahadzir, Takiyuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran untuk mendapatkan keterangan bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid berkata, ini kerana beliau merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam isu mineral ketika itu selain aktiviti berkenaan dipercayai berlaku dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, ia juga selari dengan pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengumumkan penemuan mineral itu dan berhasrat untuk meneroka REE.

“Ketika itu (Ogos 2021 hingga Oktober 2022), bekas menteri Pas (Takiyuddin) dan Sanusi sudah tentu berhubung untuk tujuan meneroka REE (sebelum peralihan kerajaan).

“Tidak mustahil beliau mempunyai maklumat berkaitan yang boleh diserahkan kepada SPRM untuk memudahkan siasatan yang sedang dilakukan kini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Mahadzir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri mendakwa, terdapat beberapa spekulasi sedang berlegar di media sosial ketika ini yang mengaitkan kaitan antara pemimpin Pas Kelantan itu dengan sebuah syarikat REE.

“Jika membuat sedikit penelitian, dengan mudah kita dapat mengenal pasti hubung kait itu. Persoalan yang ingin saya ajukan, adakah benar dakwaan seorang bekas menteri dari kepimpinan Pas terlibat dengan isu REE di Kedah seperti mana beliau didakwa terbabit dengan isu REE di Kelantan,” soalnya.

Menurutnya lagi, walaupun siasatan sedang giat dijalankan namun sekiranya terdapat maklumat atau dakwaan terbaharu, ia wajar disiasat.

“Saya harap pihak berkuasa menyiasat segala kemungkinan kerana dalang sebenar tidak boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja.

“Adakah benar seorang pemimpin Pas dari Kelantan terlibat di sebalik kecurian REE atau Muhammad Sanusi cuba melindungi beliau atas kepentingan tertentu,” dakwanya.

Menurutnya, penahanan beberapa individu oleh SPRM sebelum ini menguatkan lagi dakwaan susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan terdapat banyak persoalan meragukan berkaitan kes terbabit.

“Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah pernah umumkan REE juga terdapat di negeri itu bernilai RM125 bilion namun dalam masa sama tidak mahu gopoh melaksanakannya.

“Nik Mohd Amar pada 2020, pernah membuat kenyataan beliau terkejut dengan pengumuman Sanusi sebelum itu mengenai potensi menghasilkan pendapatan lumayan kepada negeri melalui perlombongan REE,” jelasnya.

Berikutan itu, rakyat wajar berfikir sedalam-dalamnya mengenai kedudukan sebenar kes terbabit selain tidak terlalu bergantung kepada jawapan berbelit ahli politik yang sebelum ini mendabik dada mengatakan mereka terlalu bersih.

Setahun lalu, Mahadzir antara individu terawal membuat laporan polis berkaitan kecurian REE sebelum kegiatan itu didedahkan media pada 3 Oktober tahun lalu.

Sanusi mengesahkan berlaku kegiatan mencuri REE di Hutan Simpan Bukit Enggang namun menafikan penglibatan kerajaan negeri atau syarikat yang diberi lesen eksplorasi untuk mengkaji potensi mineral itu.

Pada 13 April lepas, seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling atas pertuduhan menceroboh hutan simpan berkenaan.