Saifuddin minta Sanusi dedah identiti lelaki China ditahan berkaitan REE

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SEBERANG JAYA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta untuk mendedahkan identiti seorang lelaki warga China yang ditahan di sebuah Hutan Simpan Bukit Enggang Sik berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lelaki warga asing itu didapati masuk ke negara ini dengan menggunakan pas sosial iaitu pas lawatan.

Menurutnya, Muhammad Sanusi perlu menjawab tentang perkara itu kerana lelaki itu didapati memperoleh visa untuk bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

"Malam tadi saya sebut dua perkara mengenai Sanusi dan hari ini dia jawab sampai heret penjawat awam sekali. Jadi malam ini, saya nak tanya Sanusi lagi supaya dia boleh jawab esok.

"Saya nak tanya dia, siapa lelaki warga China yang kena tangkap di Hutan Simpan Bukit Enggang Sik pada Januari lalu? Siapa lelaki tersebut? Adakah Sanusri boleh menamakannya?

"Adakah dia boleh sahkan kenapa lelaki itu diberikan pas lawatan ikhtisas dan bekerja dengan MBI kemudian ditangkap di Hutan Simpan Kedah? Kenapa dia ditangkap?" katanya ketika berucap di Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang.

Kata beliau, Muhammad Sanusi perlu menjawab persoalan tersebut kerana timbul keraguan berikutan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebelum ini menegaskan bahawa MBI atau dirinya tiada kaitan dengan isu kecurian REE.

"Saya mahu Muhammad Sanusi jawab agar dia tidak cuci tangan hanya dengan mengatakan dia, MBI dan Kerajaan Kedah tidak terlibat dalam isu kecurian REE seballiknya orang lain yang curi," tambahnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau akan terus menyerang Muhammad Sanusi dalam siri kempennya dengan pendedahan demi pendedahan.

"Surat kompaun yang dihantar ke MBI bukan dongeng dan ia memang wujud. Siapa curi dan siapa bayar itu soal nombor dua, faktanya ada surat kompaun dihantar kepada MBI dan itu tak berubah.

"Saya dalam mod menyerang dan saya akan fokus dengan soalan saya. Ini adalah tema kita patut ambil alih Kedah kerana pentadbiran sekarang lemah dari segi tata kelola atau 'practice of good governance'.

"Semalam saya serang dia dengan dua 'point' dan hari ini dia kena menjawab. Dalam politik ini, kalau dia dah defensif, maknanya strategi kita tepat, maksudnya biar dia sibuk jawab satu persatu," katanya.

Terdahulu, pendedahan oleh Saifuddin bahawa MBI Kedah dikenakan kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik.

Susulan daripada itu, Muhammad Sanusi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu REE.

Dakwa Muhammad Sanusi, maklumat yang dinyatakan Saifuddin tidak benar kerana dianggap mengelirukan dan bermotifkan politik.

Menurut Muhammad Sanusi, MBI Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi terbabit adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

Bagaimanapun, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan tindakan saman yang mahu diambil oleh Muhammad Sanusi itu.

Saifuddin berkata, fakta yang tidak boleh diubah dalam kes kecurian REE itu ialah tidak ada syarikat yang diberikan lesen eksport sehingga mineral yang diperoleh secara tidak sah itu boleh dibawa sehingga ke Pelabuhan Klang.