Lebih RM24,198 perlu bayar zakat simpanan 2.5 peratus

Mohd Dziyaulhak. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Dziyaulhak. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam yang mempunyai simpanan setahun melebihi RM24,198 harus mengeluarkan zakat wang simpanan sebanyak 2.5 peratus.

Penolong Pengurus Unit Dakwah Swasta, Pusat Pungutan Zakat (PPZ)- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Mohd Dziyaulhak Hashim berkata, kadar berkenaan merupakan nisab atau paras minimum terbaharu yang ditetapkan agensi pengurusan zakat itu pada tahun ini.

Menurutnya, simpanan melalui institusi kewangan atau perbankan yang dikatakan patuh syariah juga tertakluk kepada zakat wang simpanan.

Beliau berkata, kiraan zakat wang simpanan adalah mengikut baki terakhir dan ini berdasarkan ijtihad Imam Syafie dan Imam Malik yang mana ia adalah ijtihad yang muktabar.

Dalam masa sama, Mohd. Dziyaulhak berkata, terdapat bank yang turut mengeluarkan zakat wang simpanan pendeposit mereka seperti Bank Islam Malaysia dan Bank Muamalat Malaysia Berhad, sekiranya individu tersebut membenarkan institusi perbankan itu berbuat demikian.

Berbanding simpanan emas, Mohd Dziyaulhak menyatakan ia merupakan satu bentuk kekayaan lain di bawah zakat emas dan nisabnya tidak sama dengan zakat simpanan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bagi kategori simpanan persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pencarum tidak perlu membayar zakat simpanan kerana ia masih belum cukup syarat iaitu ia masih belum pemilikan penuh iaitu tidak boleh dikeluarkan atau digunakan.

"Bagaimanapun, apabila simpanan sudah boleh dibawa keluar ketika umur 50 tahun, maka wang tersebut perlu terus dizakatkan kerana syarat lain iaitu nisab dan haul (tempoh setahun) telah dipatuhi," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Malah, orang tidak bekerja, kanak-kanak dan orang kurang siuman yang mempunyai simpanan melebihi kadar nisab RM24,198 juga katanya tidak terkecuali daripada menunaikan tanggungjawab berzakat.

"Zakat ini ialah hak bagi harta, walaupun pemilik harta tidak baligh atau kanak-kanak, ia menjadi tanggungjawab waris untuk uruskan pengeluaran zakat.

"Begitu juga kepada orang kurang siuman kerana syarat zakat tidak menetapkan kepada orang berakal atau baligh sahaja," ujarnya.

Mohd Dziyaulhak berkata, umat Islam tidak seharusnya merasakan kadar 2.5 peratus zakat yang dikenakan ke atas simpanan akan membebankan mereka.

Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa Islam tidak membebankan mana-mana umat agama itu manakala kadar 2.5 peratus tidak akan menyebabkan harta seseorang pembayar zakat itu habis.

Orang ramai boleh menunaikan zakat wang simpanan di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP atau secara dalam talian di www.zakat.com.my