MAIWP peruntuk RM1.6 bilion tahun 2024

Mohd Daud (tengah) mengumumkan Bajet 2024 MAIWP berjumlah RM.6 bilion.
Mohd Daud (tengah) mengumumkan Bajet 2024 MAIWP berjumlah RM.6 bilion.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion pada tahun hadapan bagi memperkukuhkan pembangunan umat Islam di wilayah berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar susulan daripada peningkatan pendapatan MAIWP pada tahun 2024 yang dianggarkan mencecah RM1.39 bilion iaitu peningkatan pada kadar 9 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.28 bilion.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan tersebut, RM1.3 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan agihan manakala RM215.1 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM85.4 juta disalurkan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Peruntukan (tahun 2024) ini merupakan peningkatan pada kadar 1.31 peratus berbanding RM1.4 bilion pada tahun 2023,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ‘Bajet 2024: Melestari Rahmah Madani’ di sini pada Khamis.

Tambah Mohd Daud, kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar itu berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen para pembayar zakat di dalam dan luar Wilayah Persekutuan.

Mohd Daud (duduk, tengah) bersama kakitangan sempena pengumuman Bajet 2024 MAIWP di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohd Daud (duduk, tengah) bersama kakitangan sempena pengumuman Bajet 2024 MAIWP di Kuala Lumpur pada Khamis.

Jelas beliau, dengan kemampuan kewangan itu, MAIWP sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti dan program untuk memenuhi keperluan umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada MAIWP melalui Pungutan zakat (PPZ,-MAIWP) dan anda adalah 'hero asnaf'," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Mohd Daud memaklumkan MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1.1 bilion pada tahun 2024 manakala selebihnya merupakan anggaran pendapatan daripada sumber lain seperti aktiviti sewaan, yuran pengajian serta pelaburan dan menerima peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Daud turut mengumumkan insentif khas berjumlah RM4.2 juta untuk disalurkan kepada 69,100 asnaf di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023.

“Seramai 30,000 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan akan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta.

“Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM500 juga akan disalurkan kepada 4,800 orang pelajar manakala 34,300 penerima akan mendapat zakat khas Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM300,” katanya.