Anggota polis maut terperosok bawah lori

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala ke Taman Connaught di sini pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.06 petang.
"Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori serta dipercayai turut membabitkan sebuah lagi kenderaan yang masih belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Zamzuri berkata, mangsa merupakan anggota polis lelaki berusia 34 tahun yang bertugas di Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang bergerak lurus dalam keadaan aliran trafik sesak dan dipercayai mencelah di antara dua lorong kenderaan sebelum sebuah kenderaan di hadapan membrek secara mengejut.
“Akibatnya, mangsa gagal mengawal motosikal lalu terjatuh dan termasuk ke bawah lori yang sedang bergerak di lorong kiri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
"Pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan saringan air kencing akan dijalankan manakala ujian alkohol mendapati pemandu berkenaan negatif,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang anggota polis maut selepas motosikal terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Cheras
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori
- Mangsa adalah anggota polis lelaki berusia 34 tahun bertugas di Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman
- Mangsa gagal mengawal motosikal bila kenderaan di hadapan membrek mengejut, terjatuh ke bawah lori bergerak
- Pemandu lori ditahan, saringan air kencing dan ujian alkohol negatif, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
