72,850 penjawat awam Selangor terima sebulan gaji sempena Aidilfitri - Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) kepada lima kumpulan penerima utama sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka kepada negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima kumpulan itu termasuk seramai 72,850 penjawat awam negeri Selangor yang akan menerima satu bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersetuju mengawalkan pembayaran gaji penjawat awam negeri daripada 16 Mac kepada 13 Mac iaitu kira-kira seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Keputusan ini diambil bagi memberi ruang sewajarnya kepada seluruh penjawat awam membuat persiapan untuk pasangan dan keluarga tersayang seminggu sebelum raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Akrab Mahabbah Insani Ramadan bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz di sini pada Jumaat.
Amirudin berkata, pemberian itu turut diperluaskan kepada pemimpin masyarakat termasuk Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru atau Bagan, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS) dengan kadar satu bulan elaun minimum RM500.
“Petugas masjid dan guru rakyat di negeri Selangor juga akan menerima insentif RM500,” katanya.
Amirudin berkata, sebagai komitmen mengukuhkan hubungan antara negeri dan Persekutuan, kerajaan negeri turut meluaskan IKSA sebanyak RM300 kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan bergaji RM3,000 dan ke bawah yang berkhidmat di Selangor.
“Mereka terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba, guru dan jururawat lantikan tetap,” jelas beliau.
Secara keseluruhan, katanya, pelaksanaan IKSA itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM66.25 juta dan akan disalurkan mulai 19 Mac depan.
“Bahagian Pembangunan Sumber Manusia di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan garis panduan terperinci pada Isnin depan bagi permohonan daripada jabatan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai peranan pengamal media sebagai ‘The Fourth Estate’ yang terus komited melaporkan berita secara tepat dan berintegriti meskipun berdepan perubahan landskap teknologi serta dominasi media sosial.
Katanya, susulan penubuhan rasmi Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Selangor (WAJAR) pada November tahun lalu, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan IKSA sebanyak RM1,000 kepada wartawan yang berdaftar dengan pertubuhan itu sehingga 27 Februari lalu.
“Penyaluran ini akan diuruskan melalui Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Yayasan MBI menjelang Aidilfitri.
“Saya berharap IKSA kali ini dapat dimanfaatkan seisi keluarga sebagai persiapan Aidilfitri, di samping komitmen kita bersama meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat,” tambah beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri kepada lima kumpulan penerima utama
- Penjawat awam negeri Selangor menerima satu bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000
- Pembayaran gaji penjawat awam negeri dipercepat dari 16 Mac kepada 13 Mac untuk persiapan Aidilfitri
- Insentif turut diperluaskan kepada pemimpin masyarakat, petugas masjid, guru rakyat, dan penjawat awam Persekutuan dengan bayaran minimum RM500
- Pelaksanaan IKSA membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM66.25 juta dan akan disalurkan mulai 19 Mac
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

