PPZ-MAIWP kutip RM400 juta potongan zakat majikan

Abdul Hakim (belakang, tengah) bergambar bersama wakil penerima anugerah majikan terbaik pada Majlis Mesra Majikan 2023 di MECC pada Khamis.
Abdul Hakim (belakang, tengah) bergambar bersama wakil penerima anugerah majikan terbaik pada Majlis Mesra Majikan 2023 di MECC pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama lslam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengutip sebanyak RM400 juta potongan zakat daripada majikan membuat pemotongan zakat kakitangan mereka di PPZ-MAIWP.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kutipan berkenaan berjaya dikutip PPZ-MAIWP dalam tempoh bermula Januari hingga Oktober pada tahun ini.

ABDUL HAKIM
ABDUL HAKIM



"Dengan potongan zakat kakitangan syarikat inilah ia dapat memastikan bantuan kewangan bulanan kepada lebih 30,200 keluarga asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan mencukupi," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Majikan anjuran PPZ-MAIWP dengan penglibatan 140 majikan daripada sektor kerajaan dan swasta di sekitar Kuala Lumpur, di Matrade Exhibition & Conversation Centre (MECC), di sini pada Khamis.

Majlis ini diadakan bagi menyampaikan maklumat terkini tentang perkhidmatan dan tawaran PPZ-MAIWP bagi memudahkan kakitangan sektor awam dan swasta untuk membuat potongan gaji terutamanya melalui majikan-majikan mereka.

Dalam pada itu, beliau menambah MAIWP juga menaikkan kadar bantuan barangan keperluan asasi asnaf daripada RM150 ke RM300 bagi setiap penerima zakat sebagai usaha membantu golongan yang terkesan akibat inflasi negara bermula tahun depan.

"Peningkatan kadar bantuan ini pastinya memerlukan lebih banyak dana zakat. Justeru kami berharap agar lebih ramai pihak dapat melunaskan tanggungjawab berzakat mereka supaya lebih ramai asnaf dapat menerima manfaatnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis yang sama, PPZ-MAIWP turut memberi Anugerah Majikan Terbaik sebagai tanda penghargaan kepada 20 majikan terpilih yang cemerlang dalam menggalakkan dan menguruskan potongan zakat kakitangan mereka.

Antara majikan yang menerima anugerah ini ialah Bahagian Akaun Jabatan Perdana Menteri; CIDB Holdings Sdn Bhd; Mohd Zulkarnain Enterprise Sdn Bhd; Small Medium Enterprise Development Bank malaysia berhad dan SME Corp Malaysia.

Turut menerima anugerah tersebut ialah Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad; TM Technology Services Sdn Bhd; UMW; RHB Bank; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Tenaga Nasional Berhad

Selain itu ialah Kementerian Pendidikan Malaysia; Roc Oil (sarawak) Sdn Bhd; Petronas; Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Empat lagi syarikat ialah Khazanah Nasional Berhad; Habib Group (Koperasi Habib); Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDS) dan Permodalan Nasional Berhad.

Menurut Abdul Hakim, anugerah itu berikan kepada syarikat yang konsisten, efisien dan cemerlang baik dari segi komunikasi mahupun kerjasama dalam menghantar data serta bukti pembayaran.

Dalam pada itu, Kempen Jom Potong (Skim PZB) 2023 masih berlangsung hingga 31 Disember untuk mereka yang ingin mula atau menambah potongan zakat dan berpeluang memenangi hadiah utama, Pakej Percutian ke Balkan dan pelbagai hadiah menarik lain.

"Inilah antara komitmen PPZ-MAIWP dalam menitikberatkan usaha-usaha dakwah sekali gus memudahkan pembayar untuk menunaikan zakat, agar asnaf khususnya dapat menikmati manfaat daripada agihan dana zakat untuk kelangsungan hidup mereka," tambahnya.