Konsep klasik tarik pengunjung luar

Penggunaan kain batik lepas dan songket mencipta tarikan utama di Bazar Ramadan Melayu Klasik Kampung Sungai Sembilang, Jeram.
Penggunaan kain batik lepas dan songket mencipta tarikan utama di Bazar Ramadan Melayu Klasik Kampung Sungai Sembilang, Jeram.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penggunaan kain batik lepas dan motif songket sebagai alas meja serta hiasan tiang khemah menjadi elemen paling mencuri perhatian di Bazar Ramadan Melayu Klasik Kampung Sungai Sembilang, Jeram di sini.

Tidak seperti bazar kebiasaan yang sarat dengan kanopi dan sepanduk plastik berwarna terang, penganjur memilih papan tanda daripada kain berwarna krim dan putih dengan tulisan ringkas, sekali gus mewujudkan suasana seragam serta tampak bersih.

Ditambah pula dengan lokasinya di tepi jalan kampung yang dikelilingi pokok kelapa, keseluruhan persekitaran itu menghadirkan pengalaman membeli juadah berbuka dalam suasana desa penuh nostalgia.

Penyelarasnya, Muhammad Amiruz Amini berkata, tarikan bazar itu bukan sahaja pada dekorasi, malah penampilan peniaga mengenakan pakaian sopan dan busana tradisional ringkas turut melengkapkan tema Melayu klasik yang diketengahkan.

“Ramai yang kurang gemar ke bazar besar sebab sesak dan perlu beratur panjang, jadi kita wujudkan alternatif lebih santai.

“Tak sangka pula promosi di media sosial mampu tarik pengunjung luar dan kami jangka lebih 200 hingga 300 orang sehari, malah meningkat pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Papan tanda Bazar Ramadan Kampung Sungai Sembilang, Jeram.
Papan tanda Bazar Ramadan Kampung Sungai Sembilang, Jeram.

Menurutnya, bazar yang julung kali diadakan tahun ini menempatkan 11 gerai dengan pelbagai jualan termasuk roti john lemak bakar, ayam crispy, daging bakar, aneka nasi dan kuih-muih.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Amiruz memberitahu, idea mewujudkan bazar berkonsepkan klasik itu tercetus selepas permohonan untuk menyertai bazar Ramadan utama tidak berjaya.

“Asalnya kami mohon bazar Ramadan lebih besar, tapi tak dapat, jadi kita buat sendiri di depan rumah.

“Memang konsep bazar ini kita hendak fokus kepada penduduk setempat dan pengunjung luar yang singgah ke sini,” jelasnya.

Katanya, sekiranya sambutan terus menggalakkan, pihaknya bercadang menambah vendor serta memperluaskan kawasan bazar Ramadan tahun depan.

“Kita akan terus memperkemaskan lagi penganjuran bazar ini termasuk menambah kepelbagaian gerai.

“Kita mahu pengunjung bukan sahaja datang membeli juadah, malah menikmati pengalaman Ramadan lebih bermakna dan berbeza selain menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kain batik lepas dan motif songket digunakan sebagai alas meja dan hiasan di Bazar Ramadan Melayu Klasik Kampung Sungai Sembilang
  • Penganjur memilih papan tanda daripada kain berwarna krim dan putih dengan tulisan ringkas untuk suasana seragam dan bersih
  • Bazar itu menawarkan pengalaman membeli juadah berbuka puasa dalam suasana desa penuh nostalgia
  • Penampilan peniaga mengenakan pakaian sopan dan busana tradisional melengkapkan tema Melayu klasik
  • Bazar yang julung kali diadakan tahun ini menempatkan 11 gerai dengan pelbagai jualan termasuk roti john lemak bakar dan ayam crispy

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!