DBKL pasang CCTV di lokasi kereta Teresa Kok dipecah

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera melaksanakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara susulan kejadian pecah kenderaan dilaporkan berlaku di lokasi itu.
DBKL memaklumkan pihaknya mengambil maklum hantaran Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung insiden tersebut serta cadangan supaya CCTV dipasang bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung.
"Kerja pemasangan CCTV akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan dijangka siap pada awal bulan Mac 2026.
"DBKL memandang serius insiden tersebut dan kebimbangan disuarakan orang awam.
"Keselamatan warga kota serta pengunjung taman sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan persekitaran awam yang selamat dan kondusif," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Teresa Kok kehilangan wang tunai RM2,000 dan barangan peribadi lain selepas cermin keretanya dipecah di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini.
Teresa berkata, kejadian berlaku ketika dia berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada jam 6.15 petang, Ahad sejurus selepas hujan lebat berhenti.
Menurut DBKL, pihak mereka kekal komited untuk memastikan Kuala Lumpur terus menjadi bandar yang selamat, sejahtera dan selesa untuk semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

