Hanya jual air halia mampu tunai zakat RM7 juta setahun

Hafiz (kanan) ketika menunaikan zakat perniagaan di PKZ Pahang.
Hafiz (kanan) ketika menunaikan zakat perniagaan di PKZ Pahang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda berjaya menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM7 juta hasil penjualan air halia yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

Hafiz Oon Jun Seong, 30-an dari Mr Bentong World Trading menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM2 juta di Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang pada Oktober lalu disusuli RM5 juta lagi kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Disember lalu.

Hafiz berkata, dia menunaikan zakat sebagai tanda kesyukuran atas rezeki melimpah ruah selepas air halia diusahakan mendapat sambutan meluas selepas tular September tahun lepas.

Hafiz
Hafiz

"Saya kongsi video testimoni pengguna yang telah menggunakan air halia dan meluas ke seluruh negara hingga kedai di Bentong penuh dengan orang yang datang dari serata negeri termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Tidak tamat di situ, saya terus berkongsi video di media sosial dan buat 'live' di Tik Tok untuk tarik pelanggan hingga sampai ke tahap ini," kongsinya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dia berkata, perniagaan air halia sebagai alternatif penjagaan kesihatan itu diusahakan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri serta diamalkan sehingga berjaya menurunkan berat badan 20 kilogram (kg).

"Dalam kesibukan masa, saya tak jaga kesihatan dan tak cukup rehat hingga jatuh sakit. Dalam proses pemulihan, saya amalkan minuman berasas halia (dibeli dari luar) namun rasanya tidak sedap.

Artikel Berkaitan:

"Dari situ saya buat R&D sendiri dan amalkan sendiri hingga berat badan turun 20kg dan kesihatan juga semakin baik. Saya kemudian buat perkongsian dan jual dekat orang tempatan hingga dapat sambutan baik sebelum saya jual secara dalam talian serta meluas ke seluruh negara," katanya.

Hafiz berkata, produk tersebut mulanya dijual dengan harga RM120 sebotol namun selepas mendapat permintaan tinggi, dia meningkatkan pengeluaran serta mengurangkan untung dan harga tersebut berjaya dikurangkan kepada RM60 sebotol.

Hafiz (empat dari kiri) menunjukkan produk air halia yang dijual hingga membolehkannya membayar zakat RM7 juta tahun ini.
Hafiz (empat dari kiri) menunjukkan produk air halia yang dijual hingga membolehkannya membayar zakat RM7 juta tahun ini.

Dalam pada itu katanya, dia sebelum ini kurang mengambil berat berkenaan zakat sehinggalah seorang pegawai PKZ Pahang memperkenalkan zakat kepadanya.

"Saya rasa tertarik dan membuat pembayaran zakat pertama dengan RM1,000. Selepas itu, saya lihat banyak perubahan dalam perniagaan yang semakin lancar dan banyak urusan dipermudahkan.

"Jadi saya diberikan rezeki yang banyak dan mahu berkongsi RM1 juta pertama dengan PKZ Pahang sebelum terbuka tambah RM1 juta lagi pada bulan yang sama (Oktober).

"Begitu juga dengan PPZ-MAIWP, mula dengan bayar RM2 juta kemudian tambah lagi RM3 juta yang kedua-duanya dibayar pada Disember," katanya.

Ujarnya, perkongsian video mengenai pembayaran zakat itu bukan berniat untuk riak sebaliknya untuk terap kesedaran kepada orang ramai untuk menunaikan zakat.

"Saya tergerak hati untuk ke depan kerana dimaklumkan ramai yang tidak bayar zakat, jadi saya tampil untuk galak lebih ramai bayar zakat supaya dapat bantu lebih ramai yang memerlukan," jelasnya.