PPZ-MAIWP galak lebih ramai tunai ibadah zakat

PPZ-MAIWP sentiasa meningkatkan kesedaran pembayaran zakat termasuk menyediakan wakalah kepada atau dasar pengembalian wang zakat untuk agihan asnaf.
PPZ-MAIWP sentiasa meningkatkan kesedaran pembayaran zakat termasuk menyediakan wakalah kepada atau dasar pengembalian wang zakat untuk agihan asnaf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar kemiskinan bandar dan jumlah penerima zakat didapati meningkat setiap tahun disebabkan faktor cabaran ekonomi, kos sara hidup dan kenaikan harga barang serta inflasi.

Demikian dimaklumkan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang mana atas keadaan itu katanya, wang zakat penting bagi Baitulmal MAIWP dalam melaksanakan agihan bantuan serta projek pembangunan asnaf.

Menurutnya, antara program pembangunan asnaf termasuk projek 'urban farming', keusahawanan serta peluang pendidikan serta penyediaan kemahiran bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan.

"Program urban farming sebagai contoh menunjukkan peningkatan pendapatan yang jelas selain menyahut seruan sekuriti makanan sekali gus dapat mengurangkan penggantungan kepada sumber import.

"Ada keperluan tanah kosong di perumahan awam DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) diisi dengan projek ini yang menyasarkan tambahan 10 kawasan baharu dilaksanakan bagi tanaman cili fertigasi, cendawan dan terung tahun depan," katanya menerusi wawancara bersama Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, aspek pembangunan asnaf sentiasa dipertingkatkan supaya selari dengan cabaran semasa bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir dari arus pembangunan.

"Antara lain, cadangan yang turut diberikan perhatian ialah penyediaan makanan nutrisi dalam projek bakul makanan dan pembiayaan lesen kenderaan bagi membantu asnaf memenuhi peluang sektor gig ekonomi.

"Pembiayaan lesen pengangkutan berat juga berpotensi untuk bantu asnaf menjana pendapatan bulanan secara tetap susulan terdapat permintaan bagi memenuhi sektor pekerjaan tersebut," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Abdul Aziz turut memberitahu, PPZ-MAIWP turut meningkatkan kesedaran pembayaran zakat dalam kalangan syarikat-syarikat korporat serta individu.

Abdul Aziz
Abdul Aziz

Katanya, pembayar zakat memperoleh manfaat potongan cukai pendapatan selain wakalah iaitu dasar pengembalian wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

"Wakalah ini boleh dipohon oleh individu, syarikat, majikan atau institusi-institusi pengajian tinggi yang membayar zakat di PPZ-MAIWP bermula pada kadar 12.5 peratus sehingga 50 peratus.

“Bagi syarikat yang membayar zakat perniagaan sebanyak RM10,000 setahun ke atas layak menerima pulangan wakalah pada kadar 37.5 peratus manakala RM1 juta setahun ke atas layak menerima pulangan wakalah 50 peratus," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, majikan yang mewajibkan sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan mereka membuat potongan zakat kepada PPZ-MAIWP dan melebihi RM100,000 setahun layak menerima pulangan wakalah pada kadar 37.5 peratus.

"Sasaran kutipan zakat PPZ-MAIWP pada tahun ini sebanyak RM1 bilion dan ketika ini berbaki 17 peratus untuk mencapai sasaran tersebut,” ujarnya.

Orang ramai digalakkan untuk menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2023 bagi mendapatkan 100% rebat cukai pendapatan.

Bayaran zakat boleh dilakukan di kaunter-kaunter PPZ-MAIWP, atau secara dalam talian di www.zakat.com.my atau melalui aplikasi MyZakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!