Lebih 2,000 ketua isi rumah berjaya keluar status miskin di Selangor - Exco

SHAH ALAM - Seramai 2,233 ketua isi rumah (KIR) telah keluar daripada status miskin setakat ini iaitu penurunan sebanyak 38.35 peratus sekali gus menghampiri sasaran sifar miskin di Selangor menjelang 30 Jun depan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, berdasarkan data Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 pada 15 Januari lepas, seramai 5,822 KIR dikenal pasti miskin namun hasil intervensi berfokus serta kerjasama pelbagai pihak jumlah tersebut berjaya dikurangkan kepada 3,589 KIR setakat 20 Februari lepas.
"Daripada 3,589 KIR yang masih miskin, seramai 2,102 merupakan golongan produktif berusia 15 hingga 64 tahun, termasuk 1,422 yang telah bekerja tetapi belum melepasi PGK manakala 589 lagi tidak bekerja dan tiada kemahiran serta 91 tidak bekerja namun berkemahiran.
"Baki 1,487 KIR terdiri daripada golongan tidak produktif termasuk warga emas, manakala 398 KIR adalah berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan intervensi khusus dan bersasar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Papparaidu berkata, bagi memastikan keberkesanan, kerajaan negeri melaksanakan Program Outreach Memangkas Kemiskinan dengan pendekatan turun padang, kaunter bantuan bersepadu, semakan dan pendaftaran sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), kursus kemahiran serta inisiatif jualan Rahmah.
Beliau berkata, bagi mencapai hasrat sifar miskin kerajaan negeri menggunakan pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) dan wakil rakyat.
"Kerajaan negeri turut melaksanakan Inisiatif Kesejahteraan Madani Fasa 1 melibatkan peruntukan RM2.705 juta, disokong dengan tambahan RM5 juta melalui BINGKAS Tambahan (BINGKISAN),” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Seramai 2,233 ketua isi rumah telah keluar daripada status miskin di Selangor
- Penurunan sebanyak 38.35 peratus ke arah sasaran sifar miskin menjelang 30 Jun
- Sebanyak 5,822 ketua isi rumah dikenal pasti miskin, berkurang kepada 3,589 setakat 20 Februari
- Program Outreach Memangkas Kemiskinan dilaksanakan untuk membantu golongan miskin
- Kerajaan negeri menggunakan pendekatan bersepadu dengan pelbagai agensi untuk mencapai hasrat sifar miskin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
