PPZ-MAIWP capai sasaran kutipan zakat cecah RM1.035 bilion

Mohd Na'im pada sidang akhbar Prestasi Kutipan & Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2023 di Hotel Dorsett, pada Selasa.
Mohd Na'im pada sidang akhbar Prestasi Kutipan & Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2023 di Hotel Dorsett, pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melepasi sasaran ditetapkan selepas memperoleh kutipan zakat RM1.035 bilion bagi tahun 2023.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding RM937 juta pada 2022.

Menurutnya, jumlah pembayar zakat turut meningkat sebanyak satu peratus iaitu seramai 1.85 juta berbanding 1.83 juta.

"Alhamdulillah meskipun berhadapan pelbagai cabaran dan situasi ekonomi dunia tidak stabil, PPZ-MAIWP berjaya mencapai kutipan dan pembayar lebih tinggi berbanding tahun 2022.

"Ini kerana PPZ-MAIWP melaksanakan strategi pemasaran dan promosi berterusan selain mengadakan pelbagai kempen dengan sasaran berbeza antaranya Kempen Mesra Majikan, Jom Potong dan Jom Tambah," katanya pada sidang akhbar Prestasi Kutipan & Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2023 di Hotel Dorsett, di sini pada Selasa.

Tahun lalu, PPZ-MAIWP meletakkan sasaran RM1 bilion kutipan zakat harta dan fitrah bagi Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kutipan, zakat pendapatan menyumbang zakat tertinggi sebanyak 68 peratus, diikuti zakat perniagaan 16 peratus dan 16 peratus lagi terdiri zakat wang simpanan, zakat harta, zakat fitrah, qada dan lain-lain.

"Saluran melalui potongan gaji zakat menjadi pilihan utama pembayar yang telah menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan kutipan diikuti pembayaran di kaunter sebanyak 17 peratus, di portal sebanyak 13 peratus manakala melalui ejen dengan enam peratus.

Artikel Berkaitan:

"Sementara kutipan melalui kupon fitrah sebanyak RM10 juta bersamaan satu peratus dan lain-lain saluran sebanyak RM137 juta mewakili 13 peratus," katanya.

Ujar beliau, sehingga Disember lalu, MAIWP telah mengagihkan 93 peratus kutipan membabitkan RM952 juta dana zakat kepada lapan asnaf melalui 38 skim bantuan disediakan.

"Bagi tahun ini PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan keseluruhan zakat sebanyak RM1. 115 bilion dengan jumlah pembayar seramai 1.9 juta orang.

"Selain itu, sasaran wakaf tunai pula adalah sebanyak RM10 juta dengan pembayar seramai 26,400," ujarnya.