Rumah Koo Ham terbakar: Cubaan kaitkan PN melampau - Pas Perak

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Razman
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Razman
A
A
A

IPOH - Pas Perak menyifatkan cubaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengaitkan kejadian kebakaran rumahnya itu dengan Perikatan Nasional (PN) disifatkan melampau.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Pas Perak menzahirkan simpati kepada Koo Ham atas musibah yang menimpa dipercayai perbuatan khianat.

Menurutnya, namun tindakan mengaitkan kejadian tersebut dengan PN yang dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) amat dikesali.

"Tindakan Datuk Ngeh mendahului siasatan pihak polis adalah tanda beliau tidak memberi kepercayaan penuh terhadap profesionalisme Polis.

"Membuat tuduhan untuk meraih sentimen politik dengan kejadian jenayah adalah bersifat melulu dan melampau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan itu Razman menasihati Koo Ham agar bertenang dalam menghadapi musibah dan tidak menuding jari kepada pihak lain.

Jelasnya, pemimpin DAP itu sewajarnya tidak membuat tuduhan yang boleh mengapikan sentimen agama susulan kenyataan sebelum ini.

Beliau berharap kes terbabit dapat diselesaikan dengan segera dan kepercayaan perlu diletakkan kepada pihak polis untuk menguruskan isu jenayah secara profesional tanpa dikaitkan dengan sentimen simpati politik.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak dalam sidang medianya mengesyaki kejadian kebakaran rumahnya dipercayai disebabkan kenyataan media mengenai cadangannya menyentuh isu hal ehwal agama Islam yang dibuat sebelum ini.

Menurutnya, terdapat pemimpin Pas dan Bersatu yang memutar belit kenyataan media yang dibuat pada 28 Disember lalu sehingga mendatangkan kebencian melampau kepadanya.

Media sebelum ini melaporkan kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung terbakar pada awal pagi Rabu.

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu bagaimanapun hanya melibatkan garaj kereta di bahagian depan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian telah menemui satu botol disyaki mengandungi bahan letupan dipercayai molotov cocktail.