Jual emas palsu boleh didenda sehingga RM25,000 - KPDN

Mohd Mufsi meninjau pemeriksaan menggunakan peralatan pengujian berteknologi XRF di tiga kedai emas pada Ahad.
Mohd Mufsi meninjau pemeriksaan menggunakan peralatan pengujian berteknologi XRF di tiga kedai emas pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Mana-mana peniaga yang didapati menjual emas atau perak tidak tulen boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, tindakan itu diambil mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga) 1994, Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurutnya, bagi kesalahan tersebut, pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM25,000, manakala individu pula boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Ketulenan emas dan perak merupakan perkara serius kerana ia melibatkan kepentingan serta hak pengguna," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, KPDN Terengganu telah menjalankan pemantauan serta pemeriksaan ketulenan logam berharga di tiga premis menjual barangan kemas di sekitar daerah ini pada Ahad sebagai langkah melindungi pengguna khususnya menjelang musim perayaan.

Mohd Mufsi berkata, pemeriksaan berkenaan dijalankan menggunakan peralatan pengujian berteknologi Radas Sinaran X (XRF) bernilai kira-kira RM150,000 yang diperoleh pada 2025 dan dikendalikan oleh pegawai terlatih serta diperakui, termasuk Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) dan Pekerja Sinaran (PS).

Katanya, penggunaan teknologi itu membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan lebih tepat, telus dan berintegriti serta akan diperluaskan ke seluruh negeri dari semasa ke semasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua unit simpanan stok (SKU) barang kemas emas 916 yang diperiksa menepati piawaian ketulenan seperti yang dilabelkan.

"Ini menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan peniaga barangan kemas di negeri Terengganu,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, KPDN Terengganu tidak merekodkan sebarang aduan berkaitan penipuan ketulenan logam berharga di seluruh negeri.

"KPDN Terengganu akan terus komited memastikan urus niaga barangan kemas di pasaran dilaksanakan secara adil, telus dan mematuhi perundangan sedia ada demi melindungi kepentingan pengguna," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Peniaga menjual emas atau perak tidak tulen boleh didenda RM25,000
  • Tindakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan 1994, Akta Perihal Dagangan 2011
  • Individu boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun
  • Ketulenan emas dan perak dianggap serius untuk kepentingan pengguna
  • KPDN Terengganu menggunakan peralatan XRF untuk pemeriksaan ketulenan logam berharga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!