Pintu kereta dibuka budak 2 tahun punca nahas enam kenderaan

Tular video di media sosial memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah lokasi di ibu kota.
Tular video di media sosial memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah lokasi di ibu kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat dipercayai berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak membuka pintu kereta secara tiba-tiba ketika kenderaan itu sedang bergerak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 9.46 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.15 petang di Jalan Tun Razak dari arah Bulatan Kampung Pandan menghala ke KLCC.

"Lokasi kejadian merupakan jalan bandaran tiga lorong sehala dengan keadaan permukaan jalan rata dan kering.

"Kes melibatkan empat buah kereta dan dua motosikal iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo, Perodua Bezza selain motosikal Suzuki V-Strom SX serta CFMOTO 675 NK," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penumpang belakang sebuah kenderaan terlibat iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipangku saudaranya telah membuka pintu belakang kiri secara tidak sengaja.

Tular video di media sosial memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah lokasi di ibu kota.
Tular video di media sosial memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah lokasi di ibu kota.

Menurutnya, ketika kejadian sebuah motosikal Suzuki V-Strom SX yang ditunggang lelaki tempatan berusia 25 tahun sedang bergerak di antara lorong sebelum terlanggar pintu kenderaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tersebut hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.

"Sebuah lagi motosikal jenis CFMOTO 675 NK yang ditunggang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak dan turut terlibat dalam kemalangan tersebut," katanya.

Ujarnya, akibat kejadian itu, penunggang motosikal Suzuki V-Strom SX mengalami patah tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Manakala penunggang motosikal CFMOTO 675 NK mengalami kecederaan ringan.

"Pemandu kenderaan lain iaitu lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun yang memandu Toyota Corolla Cross, wanita tempatan berusia 50 tahun yang memandu Honda City, lelaki tempatan berusia 32 tahun yang memandu Volkswagen Polo serta lelaki tempatan berusia 28 tahun yang memandu Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan penumpang kanak-kanak membuka pintu kenderaan secara mengejut sehingga menghalang laluan penunggang motosikal.

"Dipercayai ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) tidak diaktifkan, sekali gus membolehkan pintu dibuka dari bahagian dalam.

"Pihak polis kini sedang meneliti rakaman video tular kejadian bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah lokasi di ibu kota.

Kejadian itu turut mengakibatkan perakam video berkenaan yang menunggang di belakang turut terbabas sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.

Ringkasan AI

  • Kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur disebabkan kanak-kanak membuka pintu kereta
  • Kemalangan berlaku sekitar jam 6.15 petang dari arah Bulatan Kampung Pandan menghala ke KLCC
  • Enam kenderaan terlibat termasuk empat kereta dan dua motosikal
  • Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang membuka pintu kereta menyebabkan motosikal terlanggar pintu tersebut
  • Penunggang motosikal Suzuki V-Strom SX patah tangan kiri, manakala penunggang motosikal CFMOTO 675 NK cedera ringan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!