Kebakaran rumah Koo Ham: Siasatan terperinci, cari dalang terlibat - Saifuddin

Saifuddin ketika sidang akhbar khas pada Rabu.
Saifuddin ketika sidang akhbar khas pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan bagi mengesan suspek dan mencari punca yang menjurus kepada insiden kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang diserang menggunakan molotov cocktail.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PDRM akan menumpukan kepada semua punca munasabah termasuk kenyataan Koo Ham yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

"Nama pun siasatan, pihak polis harus bersikap adil dan profesional dengan melihat semua sudut," katanya menerusi sidang akhbar khas di sini pada Rabu.

Menurutnya, semua pihak diseru agar memberikan ruang kepada PDRM menjalankan siasatan.

"Orang ramai dimohon untuk tidak membuat apa-apa andaian atau kesimpulan awal terhadap insiden ini sehingga siasatan lengkap dilakukan oleh PDRM," ujar beliau.

Tegas Saifuddin, KDN memberi jaminan siasatan terperinci akan dilakukan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini dimartabatkan.

"Adalah diingatkan tindakan melulu tanpa mempertimbangkan lunas undang-undang negara merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman berat jika disabitkan," katanya.

Terdahulu, tiga kenderaan milik Koo Ham iaitu Mercedes E300, Honda CRV dan Toyota Hilux terbakar di dalam insiden jam 4.44 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP itu dikritik selepas beliau mengeluarkan kenyataan mencadangkan pakar Perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau bagaimana pun memohon maaf.

Ditanya mengenai sama ada insiden tersebut dilakukan oleh profesional ataupun orang perseorangan, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media sama berkata, elemen dan kandungan di dalam molotov cocktail telah dihantar ke forensik untuk ditentukan.

"Selagi tidak dapat mengenalpasti kandungan bahan tersebut, kita tidak boleh memberitahu sama ada ia dilakukan oleh profesional ataupun orang perseorangan," katanya.