'Saya bukan anak derhaka'

Ismail (kiri) semasa menerima kunjungan Zamakhshari (tiga, kanan) serta JKM Pasir Mas di rumahnya di Kampung Repek, Pasir Mas pada Ahad.
Ismail (kiri) semasa menerima kunjungan Zamakhshari (tiga, kanan) serta JKM Pasir Mas di rumahnya di Kampung Repek, Pasir Mas pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - "Saya bukan anak derhaka. Ayah nyanyuk, suka mengamuk, sepahkan barang."

Demikian kata Abdullah Ismail, 59, anak kepada warga emas, Ismail Che Noh, 79, atau lebih dikenali sebagai Pak Mail, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Abdullah yang juga anak tunggal berkata, dia kesal dan sedih apabila dilabelkan sebagai anak derhaka selepas bapanya tular di media sosial.

"Saya tidak abaikan ayah. Ayah mengalami masalah nyanyuk sejak setahun lalu dan sering hilang dari rumah, sebab itu kami terpaksa kurung dia.

"Ayah juga sering berkelakuan agresif, suka mengamuk sehingga pecahkan cermin tingkap, sepahkan pakaian dalam almari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Repek di sini pada Ahad.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad, turut hadir menziarahi keluarga berkenaan bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menyerahkan sumbangan berupa kerusi rehat serta tilam.

Abdullah yang mempunyai lima anak dan baru setahun bercerai berkata, sikap agresif bapanya menyebabkan anak sulungnya yang sebelum ini tinggal bersama terpaksa berpindah dan menyewa di rumah lain.

Katanya, dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai anak termasuk menghantar makanan sebelum ke tempat kerja, memandikan serta memakaikan lampin pakai buang walaupun sering dikoyakkan bapanya selepas itu.

Tambahnya, rumah itu terpaksa dikunci kerana khuatir bapanya akan keluar merayau.

Artikel Berkaitan:

"Bukan saya tidak pernah ajak ayah tinggal bersama tetapi dia tidak mahu.

"Rumah ayah sedang dibaiki dan terletak di sebelah rumah saya. Jika berlaku apa-apa kami dengar," katanya.

Menurut Abdullah, selepas bapanya diambil oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas, dia telah mengambil semula warga emas itu dan membawanya pulang ke rumah.

"Sekarang ayah tinggal bersama di rumah demi keselamatan.

"Saya akan pasang jeriji di pintu biliknya untuk mengelakkan dia keluar merayau," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit berkata, warga emas itu menerima bantuan bulanan sebanyak RM500.

Menurutnya, bantuan penjagaan pesakit terlantar diserahkan kepada cucunya, Nur ain Amira, 25, yang merupakan anak keempat Abdullah.

Zamakhshari pula berkata, kunjungannya bersama JKM dan penghulu bertujuan mendapatkan fakta sebenar berhubung kes berkenaan.

"Penting untuk kita dapat maklumat tepat, jangan dengar sebelah pihak supaya tidak timbul kekeliruan," katanya.

Ringkasan AI

  • Abdullah Ismail, 59, kesal dan sedih dilabel anak derhaka selepas bapanya, Ismail Che Noh, 79, tular di media sosial
  • Bapanya mengalami masalah nyanyuk dan bersikap agresif termasuk mengamuk dan merosakkan harta benda
  • Abdullah menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan memberi makan, mandikan, dan memakaikan bapanya lampin pakai buang
  • Rumah bapa Abdullah dikunci untuk mengelakkan bapanya keluar merayau
  • Warga emas itu menerima bantuan bulanan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan penjagaan pesakit terlantar diserahkan kepada cucunya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!