[VIDEO] Koo Ham syak kebakaran disebabkan kenyataan sentuh Islam

A
A
A

MANJUNG - Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengesyaki kejadian kebakaran rumahnya dipercayai disebabkan kenyataan media mengenai cadangannya menyentuh isu hal ehwal agama Islam yang dibuat sebelum ini.

Alasan tersebut diberikan kerana sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat sepanjang 33 tahun tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

Malah katanya, tidak ada sebarang ugutan mahupun amaran diterima berhubung kejadian tersebut.

Koo Ham (duduk dua dari kiri) ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar pada Rabu.
Koo Ham (duduk dua dari kiri) ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar pada Rabu.

Menurutnya, terdapat pemimpin politik yang memutar belit kenyataan media yang dibuat pada 28 Disember lalu sehingga mendatangkan kebencian melampau kepadanya.

"Saya tak memusuhi sesiapa sepanjang 33 tahun menjadi wakil rakyat. Malah sepanjang tempoh ini saya kenal dengan orang setempat dan mereka semua baik dengan saya.

"Jadi saya syak suspek yang membuat khianat ini ada kaitan dengan kenyataan media yang telah saya keluarkan pada 28 Disember 2023," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan milik Koo Ham yang terbakar dalam kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada Rabu.
Kenderaan milik Koo Ham yang terbakar dalam kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada Rabu.

Bercerita mengenai kejadian kebakaran tersebut, Koo Ham menjelaskan, ketika kejadian beliau sedang tidur bersama isteri sehingga dikejutkan dengan bunyi loceng rumah.

Katanya, dua individu di luar rumah menjerit memaklumkan berlaku kebakaran sebelum melihat kenderaannya yang diparkir di hadapan rumah terbakar.

Beliau kemudiannya terus menghubungi Balai Polis Ayer Tawar dan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk memadamkan kebakaran.

"Selepas api berjaya dipadamkan, saya nampak ada objek di tempat kejadian. Saya kemudian terus menghampiri objek berupa serpihan botol yang dilekatkan bersama satu objek seperti bekas bunga api.

"Jadi saya syak ini perbuatan khianat dengan api untuk membakar harta benda saya dan rumah saya. Tiga kereta saya terbakar termasuk di bahagian hadapan rumah," katanya.

Beliau turut menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis berhubung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Koo Ham menjelaskan, kejadian tersebut tidak mengganggu tugasnya sebagai wakil rakyat dan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Beruas.

"Saya maafkan sesiapa yang lakukan perbuatan ini jika mereka terpedaya dengan fitnah dan putar belit sehingga mendatangkan kebencian kepada saya.

"Mereka sepatutnya hidup gembira. Janganlah disebabkan perbuatan ini mereka terpaksa bersembunyi untuk elak ditangkap," katanya.

Keadaan rumah Koo Ham yang terbakar akibat perbuatan khianat di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada Rabu.
Keadaan rumah Koo Ham yang terbakar akibat perbuatan khianat di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada Rabu.

Pad 30 Disember tahun lalu, Koo Ham mengemukakan memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Ahli Parlimen dari parti DAP itu berkata, beliau langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam ketika membuat cadangan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan kediaman Penasihat DAP Perak itu di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar di sini terbakar pada awal pagi Rabu.

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu bagaimanapun hanya melibatkan garaj kereta di bahagian depan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian telah menemui satu botol disyaki mengandungi bahan letupan berkenaan.