Penolong pengurus rugi lebih RM1.3 juta ditipu sindiket phone scam

KUANTAN – Seorang penolong pengurus wanita mengalami kerugian RM1.313 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket panggilan telefon yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier dan polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 11 Disember lalu apabila mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa sebagai wakil syarikat kurier.
Menurutnya, mangsa diberitahu kononnya menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang sebelum panggilan itu disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
Beliau berkata, suspek kedua memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanannya perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan, sekali gus menyebabkan mangsa berasa takut dan cemas.
“Mangsa seterusnya diarahkan mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaburan Public Bank Mutual sebelum memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Sebanyak lima transaksi pemindahan wang dilakukan ke akaun berkenaan dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januari lalu, dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM1.313 juta,” katanya.
Yahaya berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon yang digunakan telah disekat.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Tegasnya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Orang awam yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang penolong pengurus wanita di Kuantan kerugian RM1.313 juta akibat penipuan sindiket panggilan telefon
- Mangsa menerima panggilan menyamar sebagai wakil kurier dan disambung dengan individu menyamar sebagai pegawai polis
- Mangsa diperdaya mengeluarkan wang simpanan KWSP dan Public Bank Mutual untuk dimasukkan ke dalam tiga akaun bank penipu
- Lima transaksi pemindahan wang dilakukan antara 24 Disember 2025 hingga 4 Januari dengan kerugian keseluruhan RM1.313 juta
- Polis menasihatkan orang ramai membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan meragukan dan melapor jika menjadi mangsa penipuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

