Pejuang kecam serangan ke atas Koo Ham

Garaj kereta di bahagian depan ediaman Koo Ham dan tiga buah kenderaan terbakar dalam kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung pada awal pagi Rabu. Foto Bomba Perak. Gambar kecil: Rafique
Garaj kereta di bahagian depan ediaman Koo Ham dan tiga buah kenderaan terbakar dalam kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung pada awal pagi Rabu. Foto Bomba Perak. Gambar kecil: Rafique
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengecam tindakan serangan dan khianat yang dilakukan kepada Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Ketua penerangannya, Rafique Rashid berkata, segala jenayah dan keganasan oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi tindakan tidak berperikemanusiaan yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa serta harta benda tidak boleh diterima.

“Walaupun Pejuang mempunyai perbezaan pendapat dengan DAP dan parti serta individu politik yang lain dalam pelbagai perkara, ia tidak menghalalkan perbuatan jenayah seperti yang berlaku pagi tadi (Rabu).

“Perbezaan politik dan pegangan ini adalah untuk didebatkan serta diraikan, bukannya untuk dijenayahkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kediaman Koo Ham yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu diserang menggunakan bahan letupan 'molotov cocktail' pada awal pagi Rabu.

Kejadian itu menyebabkan kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan miliknya, namun tiada kecederaan membabitkan beliau dan ahli keluarganya.

Tambah Rafique, Pejuang memandang serius perbuatan-perbuatan khianat dan jenayah sebegitu dan menggesa pihak polis digesa membuat siasatan sepenuhnya dan membawa pelaku ke muka pengadilan dengan segera.

“Pejuang mengharapkan rakyat lebih matang dalam berpolitik dan mendukung prinsip kedaulatan undang-undang serta demokrasi Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat juga disarankan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mampu menimbulkan ketidakselesaan di kalangan masyarakat.

"Salah itu tetap salah. Jenayah jika disabitkan, mestilah dihukum setimpalnya,” katanya.