[VIDEO] Jemaah Menteri mengutuk keras serangan terhadap rumah Khoo Ham

A
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya insiden lontaran molotov cocktail ke arah kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak pagi Rabu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Rentetan insiden itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama

"Jangan sesekali membuat percubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat melanggar undang-undang terutama terhadap mereka yang berlainan pendapat.

"Jemaah Menteri turut memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan pada Rabu berkata, polis sedang giat mengesan individu yang disyaki melontar molotov cocktail ke rumah Koo Ham, sehingga menyebabkan tiga kenderaan terjejas.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya memadamkan kebakaran dengan pantas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkaitan kes tuntutan kumpulan Sulu.

Semalam, Azalina berkata, Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Madrid yang mendapati penimbang tara 'tidak beretika' Dr Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan menyifatkan ia sebagai kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang.

"Ini adalah satu kejayaan yang besar dan ada beberapa langkah lagi di beberapa negara yang lain termasuk di Perancis, dan akan ada mungkin pengumuman susulan daripada menteri berkaitan khusus berkenaan isu ini,” kata Fahmi. - Bernama