Rumah Koo Ham terbakar: Saksi tekan loceng, telefon bomba

Jia Ying (kiri) dan Joo Kai ketika ditemui media di lokasi kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada Rabu.
Jia Ying (kiri) dan Joo Kai ketika ditemui media di lokasi kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar di sini disedari dua individu yang melalui tempat kejadian pada awal pagi Rabu.

Saksi kejadian, Tiong Jia Ying, 23, berkata, kejadian itu disedari berlaku kira-kira jam 2.50 pagi ketika dia bersama rakannya, Yeu Joo Kai, 23, dalam perjalanan ke Taman Ayer Tawar Jaya dari Taman Dinding.

Menurutnya, disebabkan kebakaran tersebut, mereka berdua berhenti untuk melihat kejadian dan cuba memaklumkan kepada pemilik rumah.

"Kami naik motosikal berhenti berhampiran rumah. Kawan saya tekan loceng nak kejutkan tuan rumah beritahu ada kebakaran. Selepas itu, nampak ada orang jenguk dari dalam.

"Saya kemudiannya terus hubungi bomba maklumkan kejadian tersebut," katanya ketika ditemui pemberita berhampiran lokasi kejadian di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar di sini pada Rabu.

Jia Ying yang merupakan pelajar Universiti Malaya berkata, ketika itu mereka dalam perjalanan ke rumah rakannya kerana mahu menggunakan kemudahan internet untuk pembentangan projek akhir yang sepatutnya berlangsung pagi tadi.

Katanya, bagaimanapun pembentangan tersebut terpaksa ditangguhkan dan mendapatkan kebenaran daripada pensyarahnya disebabkan kejadian berkenaan kerana perlu memberikan keterangan kepada pihak polis dan bomba.

Terdahulu, media melaporkan kediaman Penasihat DAP Perak itu terbakar pada awal pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu bagaimanapun hanya melibatkan garaj kereta di bahagian depan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian telah menemui satu botol disyaki mengandungi bahan letupan berkenaan.