Sambut merdeka sama-sama, tak perlu buat logo berbeza

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KELMARIN Pemuda Perikatan Nasional (PN) dengan rasminya melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan mereka sendiri yang berbunyi ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Menurut Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, kemungkinan juga empat negeri di bawah pemerintahan mereka iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo dan tema alternatif berkenaan.

Perkara ini ternyata menerima reaksi dan kritikan pelbagai pihak, termasuk rakyat jelata, golongan menteri malah penganalisis politik negara yang berasakan idea berkenaan lebih cenderung bermotifkan politik selain bertujuan memecahbelahkan rakyat.

Mengimbau kembali sejarah, mungkin ramai tidak tahu logo Hari Kebangsaan hanya mula dicipta pada 1976 dengan tema ‘Ketahanan Rakyat’, iaitu 19 tahun selepas tarikh keramat 31 Ogos 1957.

Sejak itu, Malaysia terus konsisten menggunakan logo setiap kali sambutan merdeka.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Badrul Redzuan Abu Hassan yang pernah membuat kajian dan menerbitkan artikel ‘Implikasi Komunikatif Logo Hari Kemerdekaan: Sebuah Nota Penyelidikan’, logo Hari Kebangsaan perlu mempunyai elemen patriotik (bukan politik) yang mampu menyampaikan mesej perpaduan juga semangat setia kawan.

Justeru, apa relevannya mempunyai logo dan tema berlainan jika kita menyambut hari kemerdekaan yang sama, pada tarikh yang sama dan di negara yang sama?

Bukankah lebih baik dan praktikal jika semua pemimpin berbeza parti di negara ini berkumpul di atas satu pentas pada 31 Ogos nanti untuk menyampaikan mesej positif kepada rakyat daripada membuang masa mencipta logo dan tema berbeza?

Artikel Berkaitan:

Kemudian adakan pelbagai aktiviti membabitkan penyertaan wakil Kerajaan Perpaduan serta PN selain parti-parti lain merangkumi Sabah dan Sarawak, tanpa mengira siapa yang memerintah negeri tersebut.

Wahai pemimpin, cukup-cukuplah berpolitik dan saling membenci sesama kita, rakyat sudah letih.

Penat mengundi masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pun belum hilang, dan kita juga baru saja selesai memilih pada pilihan raya negeri di enam negeri baru-baru ini.

Biarlah, khusus pada hari istimewa untuk rakyat Malaysia ini, raikan mereka tanpa meletak sebarang tembok pemisah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Perlis cuma tolak logo, tiada masalah ikut tema Hari Kebangsaan

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah

Jangan politikkan tema, logo Hari Kebangsaan - Ahmad Zahid

Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuhkan perpaduan, bersatu hadapi cabaran

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Guna logo, tema berbeza bawa perpecahan lebih besar - Ahmad Maslan

AMK gesa Pemuda PN batal hasrat guna logo, tema berbeza