Hari Kebangsaan: Kedah guna tema, logo sama Persekutuan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah akan menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti diperkenalkan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah mengambil pendirian tersebut atas semangat patriotisme selain mengikut apa yang diputuskan di peringkat Pusat.

Menurutnya, penggunaan tema mahupun logo yang sama antara dua negeri berbeza fahaman politik bukan suatu isu, kerana ia tidak mengubah haluan politik masing-masing.

“Kedah ikut apa yang diputuskan peringkat Persekutuan, tak ada isu apa-apa jika gunakan logo dan tema yang sama.

“Buat apa menimbulkan perbalahan mengenai isu tersebut. Kita setuju guna tema dan logo sama, bukan bermakna kita bersetuju dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berharap semua negeri menggunakan tema serta logo sambutan yang sama seperti diperkenalkan kerajaan Persekutuan.

Fahmi mengumumkan "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, selain mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Sabtu lepas, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dalam satu sidang media mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis bawah pentadbiran PN menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, biar apa sahaja tema yang digunakan, ia bukan mencerminkan pendirian politik, sebaliknya yang penting adalah semangat patriotisme.

“Sambutan itu di peringkat kebangsaan, jadi tiada masalah untuk negeri ikut. Letak tema apa pun namun hati kita macam itu juga.

“Tema tahun lepas pun kita lupa dah. Lepas ini kita lupa lah tema tahun ini. Bukan kita nak ikut atau sokong Pakatan Harapan (PH) bukan. Tetapi kerana ia dijadikan tema kebangsaan (jadi) ikut sahaja lah,” ujarnya.